rap

Buat muzik video pada hari perkahwinan - Awi Rafael

Oleh Syanty Octavia Amry

TERUJA bakal bergelar suami pada 17 Mac ini, penyanyi Awi Rafael akan menggunakan momen indah pada hari perkahwinannya itu untuk dimuatkan dalam muzik video single terbarunya bertajuk Rahasiaku.

Single ciptaan sepenuhnya oleh Awi itu juga akan turut dilancarkan pada hari bersejarahnya itu nanti.

Rahasiaku adalah buah tangan terbaru Awi yang dicipta khas untuk bakal isterinya yang juga pelakon, Atikah Suhaime.

"Rahasiaku adalah kisah istimewa antara saya dengan Atikah. Saya mahu kongsikan kisah indah ini bersama tetamu pada majlis perkahwinan nanti.

"Kerana itulah ia turut dilancarkan pada hari istimewa itu nanti. Pada hari itu juga, muzik video akan dilakukan di mana beberapa potongan video majlis kami akan digunakan sebagai muzik video rasmi lagu ini," katanya.

Majlis yang akan diadakan di daerah Ang Mo Kio, Singapura itu dimulakan dengan pernikahan pada sebelah pagi dan bersanding pada tengah hari.

Dalam pada itu, Awi juga berhasrat mengadakan majlis di Kuala Lumpur pada hujung tahun ini bagi meraikan rakan artis dan media.

"Selesai saja majlis perkahwinan nanti, saya kembali sibuk di studio. Jadual kerja saya penuh dan hujung tahun ini saja masa yang ada untuk resepsi di Kuala Lumpur.

"Namun begitu, tarikhnya belum dapat dipastikan lagi bila. Insya-Allah bila sudah ada saya akan beritahu semua," katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 6:22pm
d