rap

Ajai kagum kreativiti Saharul Ridzwan

Oleh Georgie Joseph

KOMPOSER Ajai mengakui kagum bakat menulis lagu rap pelakon Saharul Ridzwan atau SR dan yakin dia boleh diketengahkan dalam arus muzik tempatan.

Ajai, 42, berkata dia juga sedia melabur ratusan ribu ringgit untuk menghasilkan album pelakon itu selepas melihat kreativitinya mencipta lirik meskipun mengakui SR bukan penyanyi bagus.

“Terus-terang, SR memang bukan penyanyi yang bagus. Bagaimanapun, kreativitinya menulis lagu rap itu yang membuatkan saya yakin dengan kemampuannya sebagai ‘rapper’.

“Nyanyi rap tidak sama dengan menyanyi lagu yang kita biasa dengar. Sebaliknya, rap adalah satu medium untuk bercerita dan SR ada bakat itu.

“Disebabkan itu, saya yakin untuk mengeluarkan kos ratusan ribu demi membantu karier nyanyiannya. Saya akan pastikan melodi lagunya bertaraf antarabangsa meskipun dia masih rap dalam bahasa Melayu,” katanya.

Ditemui pada sesi bersama media sempena muncul dengan lagu berjudul Buku Putih nyanyian bersama mereka, Ajai juga turut kagum dengan disiplin serta kesungguhan SR.

“Saya ada bertanya dengan rakan pengarah yang pernah bekerja bersamanya. Ternyata daripada segi disiplin, dia memang seorang yang patuh masa.

“Bahkan, sebelum rakaman pun dia sanggup tunggu di studio selama lapan jam untuk berlatih lirik rap ini. Dia juga kerap bertanya dan meminta nasihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, SR berharap dirinya akan diterima baik dalam karier rap memandangkan dia sendiri sudah lama memendam impian menceburi muzik.

“Memang akan ada kritikan tapi bertuah ada Ajai untuk membentuk saya supaya dapat jadi lebih bagus. Saya sedar, saya tidak bagus untuk menjadi penyanyi contohnya lagu balada.

“Disebabkan itu, saya cuma akan fokus kepada menulis lirik dan nyanyi rap. Yang pasti, saya tidak main-main dalam hal ini dan idamkan karier muzik boleh pergi jauh,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 7:29pm
d