rap

Lizzy akui Senafas Rindu kurang menyengat

Oleh Syanty Octavia Amry

MESKIPUN drama bersiri lakonannya, Senafas Rindu kurang mendapat sambutan, penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan sedikit pun tidak kecewa.

Bagi Elizabeth, 26, atau mesra disapa Lizzy itu, dia gembira kerana penerbit dan produksi memberi kepercayaan penuh kepadanya walaupun dari awal berasa kurang yakin untuk membawakan watak sebagai Vivianna, seorang gadis berbangsa Cina.

Drama 20 episod yang disiarkan di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD itu akan berakhir esok.

Namun hingga ke hari ini penonton kurang bercakap mengenai drama gandingan Lizzy bersama Syafiq Kyle itu.

"Saya akui drama ini kurang menyengat mungkin juga kerana watak yang dibawakan tidak sesuai dengan saya.

"Sejak awal melakonkan watak sebagai Vivianna saya sudah rasa kurang selesa dan sangat 'down' tetapi penerbit dan pengarah banyak memberi sokongan.

"Setiap kali habis penggambaran rasa seperti tidak kena tetapi semua yang terbabit kata lakonan saya baik.

"Saya rasa intonasi suara kurang bagus di samping pembawaan sendiri terhadap watak itu. Disebabkan itu saya kurang menonton drama ini kerana rasa lakonan kurang memuaskan," katanya.

Namun begitu, maklum balas yang diterima oleh penonton ramai sukakan cerita berkenaan di samping watak yang dimainkan oleh Lizzy.

"Pada awal saya risau peminat akan kecam tetapi kebanyakan yang menonton semua kata lakonan bagus dan gandingan dengan Syafiq juga okey.

"Jika diberi watak yang sama lagi selepas ini saya berharap dapat melakukannya dengan lebih baik lagi," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 6:22pm
d