rap

Noraniza peruntukkan lebih RM200,000 untuk 'Showcase'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENYANYI yang mendapat jolokan Ratu Irama Etnik Malaysia, Noraniza Idris memperuntukkan lebih RM200,000 untuk 'Showcase' Istimewa Sawo Matang yang bakal berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada 12 hingga 14 April depan.

Noraniza ketika ditemui pada sidang media semalam berkata, pihaknya masih memerlukan sumbangan bagi menampung kos mengisi siri jelajah Malai Solo termasuk konsert berskala besar di Istana Budaya tahun depan.

"Untuk konsert Malai Solo di Istana Budaya pula, saya memperuntukkan hampir RM2 juta kerana ia akan membabitkan ratusan penggiat seni tradisi.

"Saya sudah lama tidak membuat persembahan berskala besar dan apabila mengambil keputusan untuk 'kembali', tidak bolehlah sekadar persembahan ‘biasa-biasa’ saja.

"Selama 30 tahun berada dalam industri, inilah pertama kali saya mengadakan konsert besar-besaran dan perlukan kekuatan kerana jika tidak akan menjejaskan keseluruhan persembahan," katanya.

Penyanyi lagu Dikir Puteri itu mengakui bukan saja perlu mengorbankan wang ringgit, malah dia kini dalam proses menurunkan berat badan sekurang-kurangnya 10 kilogram sebelum 'showcase' pada April ini melalui sesi senaman di gimnasium.

Noraniza juga menafikan 'showcase' dan konsert besar-besaran bakal diadakan kerana terikut dengan rakan penyanyi lain yang sudah pun mengadakan konsert masing-masing sebelum ini.

Siri jelajah itu turut menggunakan tanda pagar #saveiramamalaysia sebagai usaha untuk menyelamatkan Irama Malaysia yang semakin diketepikan, bermula dengan ‘Showcase’ Istimewa Sawo Matang Noraniza Idris di MaTiC (12 hingga 14 April), Fiesta Aidilfitri (Mei), Fiesta Merdeka (Ogos), rakaman 13 episod Jejak Budaya Noraniza Idris (Jun).

Seterusnya Akar Kita Zapin 2019 (Oktober), Konsert Iktikaf Noraniza Idris, Singapura (9 November) dan kemuncaknya Malai Solo Noraniza Idris di Istana Budaya pada 2 hingga 4 April 2020.

Tiket untuk menyaksikan 'Showcase' Istimewa Sawo Matang Noraniza Idris boleh dibeli pada harga RM99, RM119, RM139, RM169 dan RM189 melalui Harithmai Production.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 7:31pm
d