rap

Aura 3 biduan

Oleh Farah Suhaidah Othman

MENGECAPI kegemilangan pada era berbeza, gandingan tiga suara Datuk Jamal Abdillah, Ameng dan Zamani sudah pasti menghimpunkan kelompok peminat daripada pelbagai lapisan usia pada Konsert Tiga Suara di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 6 April ini.

Aura yang ada pada setiap penyanyi bersuara emas ini pasti memberi impak luar biasa dari segi sokongan peminat, apatah lagi konsert berkenaan diadakan sempena Karnival Seni Perak.

Masih ramai yang tidak lupa kehebatan gandingan tiga penyanyi ini di pentas Panggung Sari, Istana Budaya dua tahun lalu dan bagi yang terlepas peluang, inilah masanya mereka menyaksikan ‘comeback’ ketiga-tiganya di pentas berprestij di luar Lembah Klang.

Jamal yang juga Pengarah Urusan Binjamal Event Sdn Bhd dan penganjur konsert berkenaan berkata, beliau cukup teruja konsert itu bakal meraikan empat dekad pembabitannya dalam dunia seni tanah air.

Jamal berkata, beliau sekali lagi memilih untuk bergandingan bersama Ameng dan Zamani kerana keserasian dipamerkan ketika membuat persembahan di pentas sama dua tahun lalu dan menyifatkan sambutan memukau itu mampu dikembalikan di Ipoh.

“Baik Ameng dan Zamani, masing-masing mempunyai perjalanan seni yang berbeza malah lagu mereka tidak pernah lekang daripada meniti di bibir peminat masing-masing kerana mereka ada pengikut sendiri dari dulu hingga kini.

“Lagu mereka sentiasa menjadi siulan dalam kalangan peminat pelbagai generasi, jadi saya bawakan mereka berdua untuk digandingkan bersama di negeri kelahiran saya,” katanya.

Konsert yang bakal berlangsung kira-kira dua jam itu bakal menyaksikan tiga figura itu menyanyikan lapan lagu popular masing-masing selain beberapa

lagi paduan suara ketiga-tiganya.

“Apa yang menariknya akan ada segmen ‘battle’ apabila kami akan menyanyi lagu popular seorang daripada kami, contohnya Zamani akan nyanyi lagu saya, Ameng akan nyanyi lagu Zamani dan begitulah sebaliknya.

“Dalam konsert itu nanti turut ditampilkan persembahan anak saya, Osama Yamani dan Radiowave sebagai pendedahan kepada mereka,” katanya.

Konsert kali ini cukup berbeza kerana ia diadakan sempena Karnival Seni Perak yang menghidangkan pelbagai aktiviti menarik buat rakyat Perak sebelum konsert paduan tiga suara bermula.

Menurut Jamal, beliau cukup bertuah kerana mendapat sokongan kerajaan negeri dan mengharapkan semua peminatnya, Ameng serta Zamani berkumpul beramai-ramai untuk menyaksikan gandingan suara itu di luar Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah dapat merealisasikan impian untuk menggabungkan sekali lagi Ameng dan Zamani, sekali gus mengembalikan ingatan peminat terhadap kami bertiga.

“Dengan kerjasama baik daripada kerajaan negeri termasuk Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Perak (KASIH), konsert itu tentunya bakal mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Konsert yang bakal bermula pada jam 8.30 malam itu mendapat sentuhan pengarah muzik sama yang khidmatnya digunakan pada konsert sama dua tahun lalu iaitu Raja Mohd Sham.

Tiket berharga RM183, RM133, RM103 dan RM83 boleh diperoleh menerusi laman web www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 9:15am
d