rap

Isma gigih bekerja sara lima anak

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“ALHAMDULILLAH dengan kerja dan tawaran menyanyi yang ada, cukuplah untuk saya menyara kehidupan bersama lima anak,” demikian kata penyanyi Ismaliza Ismail mengenai kehidupannya sekarang.

Isma, 40, yang pernah menyertai program realiti televisyen Akademi Fantasia 7, kini bergelar ibu tunggal selepas bercerai dengan komposer dan penyanyi Zul 2 By 2 pada awal tahun lalu.

Dia memikul cabaran membesarkan lima anak yang sudah meningkat dewasa iaitu Muhammad Haiqal Aiman Zulkefli, 21, yang kini mengambil kursus kejuruteraan di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Muhammad Haiqal Aydiel, 20, mengambil bidang muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seri Aida Merlissa, 18, Seri Ayreen Merlynda, 15, dan Seri Adryana Marcella, 11.

Sebagai ibu tunggal, Isma mengakui perlu tabah menjalani kehidupan serta mencari peluang untuk menyanyi sebagai sumber pendapatan utama.

“Kami hidup bersama selama 19 tahun dan apa yang boleh dikatakan, jodoh hanya setakat ini. Saya reda dengan ketentuan takdir.

“Rezeki anak tetap ada. Kadangkala saya rasa kurang tapi ada saja rezeki yang masuk. Saya pun ada keluarga dan apabila ada masalah mereka pasti akan bantu.

“Saya diberi peluang mencari rezeki dengan menyanyi di Restoran D'Empangan Udang Galah Putrajaya dan untuk Ramadan nanti, saya akan menghiburkan pengunjung di Hotel Dorsett Putrajaya,” katanya.

Isma juga bertanggungjawab membekalkan kumpulan pemuzik Sri Mawar yang menampilkan empat kumpulan penyanyi berbeza untuk mengadakan persembahan sekitar Kuala Lumpur antaranya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Hotel De Palma Ampang dan Hotel De Palma Shah Alam sepanjang Ramadan nanti.

Mengulas hubungannya dengan bekas suami, kakak kepada penyanyi Tomok itu berkata, mereka tidak pernah bermusuhan.

“Kami masih baik dan tak bergaduh kerana saya tak nak susahkan urusan anak.

“Apabila ibu bapa bergaduh, anak nanti susah kerana mereka sayang bapa.

“Zul sebenarnya okey dan tahu tanggungjawab. Cuma kadang-kadang dia tak berkemampuan dan kalau ada wang dia akan bagi nafkah,” katanya.

Menurutnya, mereka ada satu kumpulan WhatsApp yang turut membabitkan anak.

“Apa-apa perkara kami akan berbincang di situ termasuk keperluan anak.

“Kadang-kadang dia kata belum dapat gaji lagi dan minta saya dahulukan apa-apa bayaran yang patut.

“Saya faham dan ikut kata-katanya. Selepas itu, dia akan bayar semula kepada saya,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 5:53pm
d