rap

Perkukuh aktiviti seni, budaya

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SETIAP tahun Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pasti akan tampil dengan pelbagai program menarik berkaitan kebudayaan dan kesenian dalam usaha memperkasakan seni budaya tanah air.

Sehubungan itu, program JKKN bagi tahun ini dirancang selaras dengan dasar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang sejajar dengan misi JKKN sendiri.

Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata, semua program dirancang berasaskan lima teras program utama iaitu Asuhan dan Kemahiran Seni, Pemuliharaan Seni dan Budaya, Jang­kauan Seni Budaya, Pengu­kuhan Seni dan Budaya serta Jaringan Kerjasama Kebudayaan.

“Kami melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan, dokumentasi dan penerbitan, bimbingan seni budaya serta pembangunan modal insan mahir dalam bidang seni budaya.

“Tidak ketinggalan ialah pengembangan seni budaya, pengukuhan seni budaya, pembangunan produksi dan artistik serta promosi seni budaya. Kami juga akan membina jaringan kerjasama yang berkesan antara pemain industri seni budaya, agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan penggiat seni budaya dari dalam dan luar negara,” katanya pada maj­lis pelancaran Kalendar Seni Budaya JKKN 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelancaran Kalendar Seni Budaya JKKN 2019 disempurnakan Timbalan Menteri Pelanco­ngan, Seni dan Budaya Malaysia, Mohammad Bakhtiar Wan Chik dan Norliza.

Norliza berkata, JKKN juga menyediakan landasan untuk penggiat seni terbabit dalam bidang ekonomi melalui aktiviti seni budaya.

“Objektif kami yang lain ialah memperkukuhkan aktiviti seni dan budaya yang bersesuaian sebagai tarikan pelancong dalam dan luar negara. Kami juga akan mengoptimumkan fungsi organisasi JKKN negeri,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 4:30am
d