rap

Konsert reunion Exist

Oleh Georgie Joseph

SELEPAS lebih 20 tahun membawa haluan masing-masing, anggota asal Exist bakal mengadakan projek khas reunion tahun ini dan tampil mengadakan konsert bersama.

Perkara itu disahkan komposer yang juga anggota asal dan pemain keyboard Exist, Ajai, 42.

Ajai berkata, tahun ini adalah tahun paling tepat untuk mengubat kerinduan peminat selepas lama menantikan mereka.

“Sebenarnya perancangan untuk membuat reunion ini diusulkan dua tahun lalu. Bagaimanapun, masa tidak mengizinkan apalagi masing-masing ada komitmen sendiri.

“Nak menyatukan semula memang susah. Jadi, apabila sudah duduk berbincang betul-betul, kami memutuskan untuk tetapkan masanya adalah tahun ini. Inilah satu-satunya reunion untuk konsert Exist. Kami akan mulakan dengan persembahan di sebuah acara besar, konsert untuk RTM, kemudian ke Singapura, Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Selain Ajai, Exist yang ditubuhkan pada 1991 turut dianggotai Along (gitar), Shah (gitar), Musa (bass), Ujang (dram), Mamat (penyanyi) dan Ezad (penyanyi).

Menurut Ajai, semua anggota yang sudah meninggalkan Exist seperti Shah dan Mamat juga akan bergabung kembali dalam projek khas itu.

Apa yang menarik, mereka juga akan tampil dengan single baharu yang menggabungkan vokal Mamat dan Ezad.

“Akan ada single baharu paduan suara Ezad dan Mamat. Orang nak tengok anggota asal Exist dan kami buat sekali saja untuk penuhi permintaan peminat.

“Selepas ini, kami pun tahu masing-masing akan sibuk, tetapi sekurang-kurangnya ada kenangan untuk ini. Kalau ikutkan, memang susah nak kumpulkan balik kerana tidak mahu ganggu agenda masing-masing,” katanya.

Exist antara kumpulan rock popular di era 1990-an dan awal 2000 dengan lagu seperti Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Alasanmu, Jesnita, Julia dan Mengintai Dari Tirai Kamar.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 5:00am
d