rap

BPR kembali gegar

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kali terakhir mereka tampil di depan peminat ialah menerusi persembahan sempena Karnival Pencegahan Jenayah ‘Satu Impian Satu Harapan’ di Hard Rock Cafe Melaka pada 28 Oktober 2017.

Ketika itu, kumpulan BPR dibarisi anggota asalnya iaitu Joey (penyanyi), Awang (gitar), Yem Bai (bass), Harun (gitar) dan Enal (dram).

Terkini, BPR kembali bergabung untuk Konsert Silaturahim Bumiputra Rockers anjuran Koperasi Silaturahim Selangor Berhad (KOSIL) di 11LA (The House), G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam ini.

Bezanya, hanya empat anggota asal BPR yang terbabit iaitu Joey, 56, Awang, 55, Yem Bai, 53, dan Enal, 58, manakala tempat Harun diambil alih oleh pemain gitar wanita, Helda, 28, yang pernah bersama kumpulan Butterfly.

Joey berkata, mereka sudah melakukan persediaan secukupnya dan percaya penonton yang datang akan terhibur.

“Memandangkan Yem Bai dan Enal tinggal di Johor, kami hanya mempunyai tempoh seminggu untuk berlatih semaksimum mungkin.

“Pemain keyboard dan pemain gitar juga baharu dan ia memerlukan banyak masa latihan untuk serasi dengan band. Persembahan ini akan menampilkan kira-kira 20 lagu hits BPR serta lagu ‘cover version’ daripada band rock legenda seperti Iron Maiden, Deep Purple, Bon Jovi, Scorpions, Queen dan lain-lain,” katanya.

Sebagaimana yang diketahui peminat, dua anggota BPR iaitu Enal dan Awang mempunyai masalah kesihatan yang kronik dan pernah dimasukkan ke hospital.

Enal menghidap lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis, manakala Awang mempunyai masalah jantung dan lelah.

“Saya akui tahap kesihatan anggota kami agak membimbangkan terutama Enal yang kerap mengadu sakit dada. Namun, semangat untuk membuat persembahan tetap membara dan pada masa sama kami tetap menjaga kesihatan sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, perbincangan sudah dibuat dengan penganjur dan mereka bersetuju menyediakan ambulans dan paramedik ketika persembahan berlangsung.

Dalam pada itu, BPR yang baru melancarkan kelab peminat untuk mendekatkan anggotanya dengan khalayak, gembira dengan sambutan yang diperlihatkan mereka.

“Respons yang diperlihatkan sangat membanggakan dan jumlah ahli kini sudah mencapai lebih 3,000 peminat.

“Ramai peminat minta BPR menyanyikan lagu-lagu lama dan kami cuba selitkan.

“Bagaimanapun tempoh persembahan hanya sejam setengah berserta sesi beramah mesra dengan peminat tidak memungkinkan kami bawa banyak lagu,” katanya yang turut menyediakan produk kelab peminat untuk

dibawa pulang.

Joey berkata, konsert mereka juga akan dimeriahkan dengan kehadiran ramai rakan artis serta komposer yang menaikkan mereka termasuk Datuk M Nasir dan Datuk Ramli Sarip.

“Kami harap sangat mereka dapat hadir. Selain itu, pembabitan syarikat pengurusan acara besar seperti Afjets Sdn Bhd juga memberi lebih semangat dalam konsert ini.

“BPR juga memperkenalkan produk kelab peminat terbaharu, berupa ‘gold bar’ yang bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai band rock pertama melancarkan gold bar,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 4:00am
d