rap

Fareez tempuh onak liku

Oleh Norhayati Nordin

MESKI pernah bergelar juara Mentor Milenia pada 2016, ternyata bukan mudah buat Fareez Fauzi menonjolkan bakatnya.

Hingga kini, Fareez, 22, masih tercari-cari arah tuju untuk mengukuhkan kariernya yang masih terumbang-ambing.

Meskipun bergelar anak kepada pelakon terkenal Fauzi Nawawi, ia bukan tiket mudah untuk Fareez mengejar impiannya.

Mengakui kariernya jauh tertinggal sepanjang tiga tahun ini, Fareez hanya mampu akur dengan onak liku yang dilalui.

“Tidak dinafikan ada penyanyi seusia mudah menempah nama tetapi tidak bagi saya.

“Biar pun ada bapa yang dikenali ramai dan sudah berjaya sebagai anak seni, saya memilih untuk menempuh sendiri segala dugaan.

“Apatah lagi, bermula melakukan sendiri akan menjadikan saya lebih cekal berhadapan apa juga cabaran,” katanya.

Pernah tampil dengan single pertama berjudul Lagu Radio pada 2016, percubaan itu gagal melonjakkan namanya.

Berkongsi beban perasaan yang ditanggungnya, jejaka seiras bapanya itu kecewa apabila apa yang diimpikan tidak menjadi kenyataan.

“Ternyata, bukan mudah untuk berjaya. Perjalanan saya membina nama dan bakat dalam karier seni ini agak berliku.

“Saya harus cuba dan terus mencuba selagi mampu. Saya tidak boleh berasa cepat berputus asa, apatah lagi kecewa berpanjangan.

“Kini, apabila bernaung dengan syarikat rakaman FMC, saya akui dalam hati tersemat harapan semoga ada sinar baru,” katanya.

Kali ini, Fareez muncul pula dengan single kedua berjudul Bersamamu hasil ciptaan Gouffran dan Ibnu Rinkarnaen.

“Saya harapkan single Bersamamu ini akan mendapat maklum balas positif daripada pendengar muzik tanah air.

“Saya yakin single ini ada kekuatannya tersendiri kerana sangat sesuai dengan vokal dan dekat di hati. Melodi dan liriknya juga menarik,” katanya.

Ditanya mengapa dia tidak mengetengahkan single ciptaan sendiri meski berbakat, Fareez berkata belum tiba masanya.

Ujarnya, sekarang biarlah dia menyanyikan dulu karya komposer lain untuk menimba lebih banyak pengalaman berharga.

Terdahulu, Fareez bekerjasama dengan penyanyi Haqiem Rusli menghasilkan lagu Aku Yang Bersalah yang dipopularkan Usop Mentor.

Tidak ralat memberikan lagu itu kepada Usop, Fareez berkata, dia mendapat royalti daripada penyiaran karya terbabit.

“Walaupun Usop menyanyi dan mempopularkannya, saya lega kerana menerima hasil royalti,” katanya.

Menurut Fareez, sekurang-kurangnya dia ada sumber pendapatan dan tumpang gembira dengan kejayaan Usop.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 4:30am
d