rap

Lancar koleksi baju Melayu Billy

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Lana Nodin bakal melancarkan koleksi baju Melayu anak keduanya, William Daud Mckienzie atau Billy, tiga bulan, bagi tujuan amal.

Lana, 40, atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin berkata, RM10 daripada setiap pembelian akan disalurkan kepada tabung Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).

“Bagi saya ini cara terbaik untuk membalas jasa pihak IJN yang membantu menyelamatkan nyawa anak saya dalam proses pembedahan baru-baru ini.

“Walaupun jumlahnya tidak besar, saya berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban pesakit jantung terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

“Dalam masa sama, saya merancang untuk menjadikan sumbangan amal ini secara berterusan menerusi setiap produk membabitkan Billy,” katanya kepada Harian Metro.

Lana berkata, koleksi GiBi by Lana itu bakal dilancarkan bulan depan bersempena sambutan Aidilfitiri.

“Sebagai permulaan saya keluarkan 1,000 helai dulu iaitu romper, baju Melayu dan kurta dari umur baru lahir hingga tujuh tahun.

“Kalau habis, saya akan keluarkan lagi dan hasil jualan akan disumbangkan lagi ke Yayasan IJN. Saya memang sudah pasang niat dan akan melaksanakannya.

“Di kesempatan ini, saya juga mahu mengajak orang ramai untuk menderma ke tabung ini. Mungkin ramai tidak tahu, setiap sumbangan anda boleh mendapat pengecualian cukai,” katanya yang juga bakal melancarkan koleksi baju kurung anak perempuannya, Gia.

Berkongsi mengenai anaknya, Lana berkata, kesihatan Billy dalam keadaan baik namun perlu mendapat pemerhatian berterusan disebabkan terdapat kebocoran kecil pada bahagian injap.

“Kebocoran ini bukan pada bahagian pembedahan tempoh hari. Disebabkan usianya masih kecil, jadi tidak boleh dapat 100 peratus hasil yang sempurna.

“Doktor memaklumkan, ia tidak memudaratkan dan tidak mengganggu keseluruhan tahap kesihatan.

“Jadi, buat masa sekarang saya perlu pantau kesihatan Billy selain perlu menjalani pemeriksaan berkala setiap tiga bulan atau enam bulan,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 12:36pm
d