rap

Jangan buang masa kalau tiada rupa!

Oleh Amirul Haswendy Ashari

“KALAU boleh tak nak beri harapan kepada orang tapi saya perlu berterus terang,” kata penerbit popular Datuk A Aida ketika diminta memberi komen mengenai peserta yang hadir pada sesi ujibakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019, hari ini.

“Ada seorang peserta yang datang untuk uji bakat setiap tahun sejak 5 tahun lalu tapi tiada pakej menarik.

“Nak diangkat jadi duta DFKL ini, memang sah-sah kami nak macam Remy Ishak, Syafiq Kyle dan sebab itu saya tidak mahu mereka yang tiada pakej lengkap terus berharap,” katanya.

Beliau yang juga juri sesi uji bakat DFKL berkata, bakat boleh digilap tetapi rupa dan pakej penuh adalah perkara paling penting.

Katanya, jika peserta berbakat tetapi tiada rupa, mungkin mereka boleh mencuba nasib dengan menyertai program pencarian bakat lain seperti Bintang Mencari Bintang (BMB).

“Nak cakap tak kacak tak sampai hati pula tapi nak beri mereka faham, sudah-sudahlah! Ada yang datang tiada rupa atau penampilan tetapi keyakinan sangat tinggi.

“Sehinggakan saya tidak tahu bagaimana nak beritahu mereka supaya jangan buang masa datang ke uji bakat ini,” katanya.

Beliau juga menegur peserta yang terlalu yakin dan berasakan sangat berkelayakan sebagai duta DFKL agar melihat rupa sendiri di cermin terlebih dulu.

Katanya, ada peserta yang ketawa apabila ditegur sebegitu dan memberi alasan akan terus berusaha.

“Saya sampai sudah tiada jawapan nak diberikan. Bagi saya ‘move on’ sajalah sebab memang mereka ini tidak akan dapat.

“Kadang kala saya pun pening nak cakap macam mana lagi waima nak tolak jadi pelakon ekstra pun tak lepas,” kata beliau lagi.

Beliau bagaimana pun tetap percaya DFKL adalah pentas terbaik untuk mencari bakat baru dalam bidang lakonan kerana setakat ini ada beberapa peserta yang hadir dengan pakej lengkap.

Pada sesi uji bakat DFKL 2019 yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama selama dua hari sejak semalam, seramai 200 orang peserta hadir dari pelbagai latar belakang.

Semalam, pengarah dan pelakon Erma Fatima yang turut menjadi juri DFKL 2019 mengakui hanya satu peratus saja yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Seperti A Aida, Erma juga mahu mencari pelakon yang mampu menjadi pelapis kepada Remy Ishak dan Zul Ariffin namun, kebanyakan yang hadir tidak menepati piawaian.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 7:23pm
d