rap

Kay tak tolak gimik

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Kay Khydir tidak menolak akan menggunakan gimik sebagai strategi untuk mempromosikan single barunya berjudul Bukan Bahagiaku.

Kay atau nama sebenarnya Nur Khaidir Muhd, 31, menganggap itu sebagai ‘trend’ untuk menaikkan populariti lagu barunya itu.

"Saya tak nafikan gimik yang boleh menularkan sesuatu produk atau karya baru itu sebenarnya bagus. Mungkin saya pun akan gunakan strategi sama.

"Buat masa sekarang, saya sedang mencari material dan idea yang sesuai untuk menjadikan lagu ini tular," katanya.

Bagaimanapun, tidak mahu menggunakan idea negatif yang boleh mengaibkan namanya.

“Kalau boleh biarlah idea itu positif. Takkan saya nak jatuhkan nama saya dengan perkara negatif," katanya.

Kay berkata, strategi itu juga untuk mengikut jejak langkah penyanyi, Shiha Zikir yang tidak terlalu mengejar populariti dalam berkarya.

"Saya tak kisah sekiranya nama saya lambat dikenali dan berkembang kerana populariti bukan keutamaan saya dalam berkarya.

"Saya tidak mahu dikenali disebabkan kontroversi yang negatif. Kalau boleh nak jadi macam Shiha yang tidak ada terpalit gosip atau kontroversi," katanya.

Kay yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 9 (AF9), melancarkan video karaoke lagu barunya, Bukan Bahagiaku ciptaan Azlan Abu Hassan yang sebelum ini dilancarkan pada 10 November tahun lalu di platform digital.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 7:09pm
d