rap

Ippo Hafiz merisik, mahu terus kahwin

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Ippo Hafiz mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hatinya, Fara Roslan pada 24 Ogos depan.

Ippo berkata, Ahad lalu dia bersama keluarganya ke rumah Fara di Setia Alam, Selangor untuk majlis merisik.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Sebagai tanda ikatan ibu saya, Zahariah Ibrahim menyarungkan cincin di jari Fara pada majlis merisik yang diadakan.

“Kami bersepakat untuk tidak mengadakan majlis pertunangan dan mahu terus bernikah saja pada 24 Ogos depan.

“Kami mula kenal pada September tahun lalu tetapi tidak rapat. Namun pada November, Fara menjadi model untuk muzik video single terbaru saya, Saat Bahagia dan kemudian bermulalah bibit perkenalan,” katanya.

Menurut Ippo, meskipun berkawan dengan Fara kurang setahun, Ippo enggan menunggu lama untuk melangsungkan perkahwinan kerana kedua-duanya pernah gagal dalam fasa percintaan.

Katanya, dia tidak menyangka hubungan dengan Fara sampai ke tahap ini kerana pada mulanya, ramai yang salah sangka mereka sudah berkahwin selepas melihat gambar belakang tabir ketika penggambaran muzik video Saat Bahagia, sedangkan pada ketika itu hanya berkawan.

“Barangkali berkat doa kawan dan peminat yang ingin melihat kami bersama dimakbulkan Tuhan.

"Sebenarnya, kami tidak bercinta sebaliknya hanya mengenali hati budi masing-masing dan berbincang mengenai perkahwinan. Lagipun sudah penat untuk melalui fasa percintaan yang tidak menjadi.

"Saya percaya Fara adalah jodoh terbaik buat saya. Tidak perlu menunggu lama jika waktunya sudah tiba,” katanya.

Ippo mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian sebagai komposer dan mula dikenali dengan single Rahsia yang menjadi runut bunyi drama bersiri Teman Lelaki Upahan pada 2015.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 1:39pm
d