rap

FFM30 pertandingkan 42 filem [METROTV]

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENGANJURAN Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) pada 30 Mac ini menyaksikan 42 filem tempatan bakal dipertandingkan dengan 25 filem adalah berbahasa Malaysia.

Turut serta, dua filem berbahasa Kantonis, Mandarin (lapan) dan Tamil (tujuh).

Pengarah FFM30, Abdul Khalid Maulod berkata, walaupun tarikh tutup penyertaan filem dipertandingkan pada 31 Disember 2018, masih ada beberapa filem dihantar pada saat-saat akhir.

"Setakat 31 Disember lalu, hampir 40 filem sudah dihantar tapi ada segelintir produser 'terlambat' menghantar filem mereka kerana tidak menyedari tarikh tutup penyertaan.

"Pihak kami memberi peluang dan ada dua tiga filem akhirnya dihantar pada awal Januari lalu," katanya.

Antara filem hebat yang dipertandingkan pada FFM30 kali ini adalah Pulang, Polis Evo 2, KL Special Force, Munafik 2, Dukun, Paskal, Hantu Kak Limah, Tombiruo, Langsuir dan One Two Jaga.

Pengumuman Top 5 semua 24 kategori termasuk kategori utama seperti Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Terbaik dijangka diumumkan pada Isnin depan.

Pada majlis pengumuman FFM30 hari ini, Abdul Khalid turut mengumumkan pengacara pada malam kemuncak itu ialah Nabil Ahmad dan Adibah Noor.

Selain itu, beliau turut mengumumkan senarai artis penyampai anugerah dan yang akan membuat persembahan.

FFM30 akan disiarkan secara langsung dari Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 9 malam di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 7:19pm
d