rap

Muka kan lama-lama boleh 'adjust'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

BEBERAPA artis yang lahir daripada program realiti Bintang Mencari Bintang (BMB) musim pertama ‘bersatu hati’ meluahkan pendapat mereka di laman sosial susulan isu ‘rupa mengatasi bakat’ yang dibangkitkan sejak Ahad lalu.

Penyampai radio dan pelakon, Ammar, berkata dia memulakan perjalanan seni dengan menyertai BMB bersama rakan baiknya, Issey Fazlisham di bawah tunjuk ajar Sabri Yunus.

“Alhamdulillah diberi peluang berkongsi bakat lakonan walaupun ilmu saya cetek. Dengan berbekalkan rupa kurniaan Tuhan dan bakat pinjaman ini masih ada yang sudi memanggil untuk ‘job’ walaupun sekadar pelakon tambahan.

“Bagi saya, tak jadi hero tak apa asalkan usaha dan keikhlasan kita ketika bekerja sama macam hero, heroin pelakon kegemaran semua,” tulisnya.

Issey pula berkongsi foto wajah ketika pertama kali menyertai BMB di laman sosialnya.

“Ni antara wajah saya awal-awal dulu. Alhamdulillah, masih lagi cari makan dalam industri. Tahniah sahabat saya yang lain, yang bermula bersama BMB,” tulis Issey ringkas.

Anak didik Raja Azura, Ain Sufia, menulis dia dan rakan seangkatan yang lain juga lahir daripada BMB.

Antaranya Fiza Awok, Achey Kintang Kintung, Abam Bocik, Fad Bocey, Syed Ali Putih, Faiz Tapaw, Shah Tapaw, Wan Gegau dan Hazwan Azani.

“Biasalah muka mula-mula semuanya ke laut. Muka kan lama-lama boleh ‘adjust’. Jangan terus berputus asa bila orang merendahkan kita. Ambil positif, jalan terus.

“Insya-Allah, ada tempat untuk kita. Percaya!” tulis Ain yang turut berkongsi foto semua bekas peserta BMB musim pertama lalu.

Dalam pada itu, Achey memuat naik fotonya dengan kapsyen ringkas tersendiri.

“Nak jadi hero... tak layak ‘kot’ sebab saya dari BMB,” tulisnya serta tanda pagar #sedardirisedarruang.

Tindakan memuat naik status berkaitan susulan kenyataan produser drama, Datuk A Aida mengaitkan peserta uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 yang tiada rupa boleh mencuba nasib dengan menyertai program pencarian bakat lain seperti BMB.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 6:17pm
d