rap

Bunkface teruja kongsi pentas dengan Wings

Oleh Syanty Octavia Amry

TERUJA pertama kali akan berkongsi pentas dengan legenda rock Wings, kumpulan Bunkface berharap tidak akan ada yang membandingkan mereka dengan kumpulan hebat itu.

Bakal bersatu pada konsert yang diberi nama Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface, konsert berkenaan akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 4 Mei depan.

Berkongsi perkara itu, Bunkface yang dianggotai oleh Sam, Paan dan Youk menyifatkan mereka sangat gembira serta tidak teragak-agak sebaik menerima tawaran daripada pengurusan Awie Entertainment untuk menjayakan konsert berkenaan.

Sam berkata, tawaran itu diterima Bunkface bulan lalu dan sangat teruja apabila Awie sendiri memilih kumpulan itu untuk menyertai mereka pada konsert itu nanti.

"Mana-mana artis yang ditawarkan menyanyi dan berkongsi pentas dengan Wings pasti tidak akan ada yang tolak, begitu juga dengan kami.

"Ini adalah satu penghormatan dan kami sangat hargai. Pastinya mereka adalah kumpulan legenda rock yang sangat hebat dan berharap tidak ada yang membandingkan persembahan kami pada malam itu nanti," katanya.

Katanya, tujuan utama konsert pada malam itu adalah mempamerkan persembahan menarik buat penonton dan bukan untuk bersaing dengan Wings.

"Kami ada cara sendiri begitu juga dengan Wings. Kami anggap konsert ini adalah penyatuan antara peminat Wings dan Bunkface sendiri.

"Malah kami tidak ada masalah jika pada malam itu perlu memakai persalinan bagaikan laksamana sekurang-kurangnya kita memartabatkan pakaian dan budaya Melayu," katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 8:07pm
d