rap

Zul Ariffin alami bengkak pankreas

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Zul Ariffin dimasukkan ke pusat perubatan di ibu negara akibat bengkak di bahagian pankreas sejak kelmarin.

Kakaknya, Hanim Ariffin ketika dihubungi berkata, pelakon popular itu mengadu sakit di bahagian perut seminggu sebelum malam gala filem terbarunya, Misteri Dilaila, baru-baru ini.

“Sepatutnya sebelum malam gala filem itu lagi Zul dimasukkan ke wad. Ketika itu dia sudah mengadu sakit dan saya membawanya pergi membuat pemeriksaan.

“Doktor memberitahu ada bengkak di bahagian pankreas. Jadi, dia kena juga ditahan untuk menjalani rawatan lanjut. Namun, disebabkan komitmen kerja bagi menjalani promosi filem itu, kami minta diberikan ubat tahan sakit. Ketika berada di Jakarta minggu lalu, dia mengadu sakit lagi hingga terpaksa dibawa ke hospital,” katanya.

Hanim berkata, buat masa ini Zul masih direhatkan bagi menjalani beberapa lagi prosedur rawatan.

“Semalam, doktor sudah melakukan pemeriksaan dengan memasukkan kamera. Disebabkan sudah bengkak, jadi ia dianggap serius. Kami harap tidak ada penyakit lain dikesan,” katanya.

Menurut Hanim, Zul perlua berpuasa kerana jika dia makan, dia akan lebih sakit.

Selain itu, dia juga ditidurkan ketika menjalani ujian imbasan.

“Sepanjang Zul menahan sakit dan sebelum dimasukkan hospital, dia memang tidak boleh tidur. Untuk situasi sekarang biarlah dia berehat dan semoga semuanya dipermudahkan,” katanya.

Terdahulu, Zul memuat naik gambar dia terbaring di katil hospital di Instagram dan menulis mengenai tahap kesihatannya.

“Selepas beberapa minggu tertangguh dan mengelak jumpa doktor atas tujuan promosi filem, menghadiri acara dan ‘travel’, akhirnya saya di sini.

“Hanya untuk beberapa hari dan selepas ini semuanya akan jadi baik. Insya-Allah,” tulisnya.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 11:41am
d