rap

Bekas pemandu Che Ta tak muncul [METROTV]

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON popular, Rozita Che Wan memberi peluang kepada bekas pemandunya, Muhammad Riduan Mohamad Mizol untuk membuat permohonan maaf secara terbuka sehingga jam 6 petang, hari ini selepas dia tidak hadir dalam sidang media yang diadakan pelakon itu pada sebelah pagi hari ini.

Rozita atau Che Ta berkata, peguamnya Wan Sarimah Wan Husain sudah menghantar notis ke rumah, menghubungi telefon bimbit serta menghantar mesej menuntut dia hadir pada sidang media hari ini. Bagaimanapun, panggilan berkenaan tidak berjawab.

Che Ta berkata, dia terpaksa mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya gagal memenuhi tuntutan itu.

"Saya amat kesal dengan keengganan beliau tampil hari ini untuk memohon maaf secara terbuka walaupun secara terang kenyataan itu berunsur fitnah dan memalukan saya.

"Saya mengadakan sidang media ini untuk memberi pengajaran bukan sahaja kepada dia tetapi sesiapa saja yang menyalahgunakan media sosial untuk memalukan individu lain tak kiralah sama ada mereka artis atau bukan. Anda harus bertanggungjawab dengan setiap tindakan anda dan sedar bahawa anda berdepan risiko dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Che Ta kesal dengan pelbagai tuduhan bekas pemandunya yang mendakwa dia selaku majikan dengan sengaja tidak mahu membayar gaji dan berniat menganiaya.

Kenyataan tidak berasas itu bukan hanya memalukan pelakon itu tetapi juga menjatuhkan reputasinya di mata masyarakat.

"Bagi membersihkan nama saya dari tuduhan tersebut, saya ingin memaklumkan bahawa saya, melalui peguam saya telah menghantar notis tuntutan kepada Muhammad Riduan pada 11 Mac lalu. Bagaimanapun, kami masih belum menerima sebarang maklum balas, jawapan atau dihubungi olehnya atau wakil," katanya.

Dalam Notis Tuntutan itu, Che Ta menuntut antaranya supaya bekas pemandunya melakukan perkara-perkara yang berikut iaitu tanpa kelengahan menghentikan perbuatan fitnah kepadanya, tanpa kelengahan memadam kenyataan-kenyataan atau gambar-gambar yang memfitnah pelakon itu.

Che Ta berkata, ini adalah kontroversi paling teruk yang pernah melandanya. Malah, sepanjang tempoh isu berkenaan tular perniagaannya turut terjejas.

Che Ta turut memohon supaya masyarakat Malaysia menghentikan budaya menularkan keburukan orang lain di media sosial kerana ia bukanlah satu tindakan yang matang dan baik.

"Saya bukanlah artis atau individu pertama yang menjadi mangsa viral di media sosial. Oleh itu, saya berasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan isu ini supaya menjadi pengajaran kita semua.

"Kita semua perlu sedar bahawa setiap apa yang ditaip, disiar dan ditularkan di media sosial, media cetak atau sebagainya mempunyai implikasi dan risiko yang tertentu.

"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahguna media sosial sehingga menjatuhkan imej, maruah dan nama baik seseorang individu tanpa dipertanggungjawabkan ke atas perkara tersebut," katanya.

Terdahulu, kemelut antara Che Ta dan Riduan tercetus apabila bekas pemandunya itu memuat naik naik luahan tidak puas hati terhadap pelakon berkenaan menerusi laman Facebook. Riduan mendakwa dirinya menjadi mangsa aniaya pelakon itu apabila gajinya tidak dibayar.

Dalam kenyataan balas, Che Ta memuat naik luahan tidak puas hatinya terhadap Riduan yang perkhidmatannya disifatkan tidak memuaskan.

Che Ta mendakwa sudah melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM2,000 dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap bekas pekerjanya itu kerana menyebarkan cerita yang tidak benar di samping mahu Riduan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, ketika itu Riduan menegaskan enggan memohon maaf secara terbuka kerana masalah itu bukan bermula daripada pihaknya.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 1:13pm
d