rap

Kagum dengan semangat Wafa

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“KALI terakhir arwah bercakap yang saya boleh faham, jam 3 pagi semalam. Dia nak bangun, mengiring dan betulkan posisi badan sebab berasa tidak selesa,” kata Tajul Faizal Tamimudin, suami pelakon popular 1990-an, Wafa Abdul Kadir, 53, yang meninggal dunia awal pagi hari ini.

Wafa yang dikenali menerusi filem Azizah The Legend meninggal dunia di kediamannya di Petaling Jaya jam 1 pagi hari ini akibat kanser peritoneal.

Tajul berkata, tahap kesihatan arwah menurun sejak dua bulan lalu akibat penyakitnya itu. Sejak itu, dia bersama keluarga lain sudah bersedia dan reda dengan pemergian arwah hari ini.

“Kalau tanda-tanda, doktor pun ada sebut dari dua bulan lalu lagi. Ketika itu, tahap kesihatan arwah semakin menurun. Kami sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan. Saya, adik-beradik dan anak-anak arwah reda.

“Pagi semalam arwah sangat lemah. Tidak banyak aktiviti yang dia buat. Cuma saya maklumkan kepada saudara mara dan rakan terdekat supaya datang rumah. Jam 10 pagi semalam, sudah nampak perubahan dan tanda arwah akan pergi. Apa pun, sepanjang sakit, dia sangat kuat. Saya kagum dengan semangatnya,” katanya.

Sepanjang sembilan tahun berkahwin dengan Wafa, Tajul menyifatkan Wafa seorang isteri yang penyayang.

“Dia seorang yang penyayang dan sangat kuat. Dia juga senang untuk memahami antara satu sama lain. Kalau bergaduh itu biasalah. Suami isteri mana yang tak bergaduh,” katanya.

Menurut Tajul, Wafa menghembus nafas terakhir di sisi semua anaknya dan saudara mara terdekat.

“Semua ada di sisi arwah sejak pagi semalam. Cantiknya ketentuan Allah ketika itu seorang anaknya pergi membeli makanan. Sebaik dia sampai di rumah, arwah terus tiada. Dia seolah-olah menunggu semua anaknya di sisi.

“Arwah ada tinggalkan hajat terakhir, tapi ia terlalu peribadi untuk dikongsi. Cuma, dua tahun lalu kami merancang untuk menunaikan umrah. Tetapi, selepas saya buat solat isthikarah, dapat petunjuk tidak baik. Tak sangka rupa-rupanya dia dimasukkan ke hospital selepas itu,” katanya.

Tajul berkata, walaupun semua anak tidak tinggal bersama, tetapi mereka kerap datang melawatnya.

“Walaupun anak-anaknya tidak tinggal bersama, tetapi mereka sentiasa datang. Yang tinggal Pulang Pinang akan menziarahnya seminggu sekali dia datang. Anak yang tinggal di Petaling Jaya boleh dikatakan setiap hari datang,” katanya.

Ditanya sejauh mana kehidupan arwah melawan kanser dihidapi, Tajul mengakui terlalu berat untuk berkongsi.

“Dari segi ketabahan arwah, bagi saya ia terlalu dalam. Berat untuk saya kongsikan,” katanya.

Jenazah Wafa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur jam 10.40 pagi. Sebelum itu, jenazah disolatkan di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail.

Antara rakan artis yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir ialah Eja, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Betty Benafe dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Pada 2014, Wafa disahkan mengidap kanser ovari dan terpaksa menjalani pembedahan membuang ovari, rahim, ormentum dan tiub falopio setahun selepas itu.

Sejak 2016 dia sudah menjalani lebih 18 pusingan rawatan kimoterapi sebelum disahkan menghidap kanser peritoneal tahun lalu.

Arwah meninggalkan empat anak lelaki hasil daripada dua perkahwinan terdahulu. Menerusi perkahwinan pertama, Wafa dikurniakan seorang anak, Luqman Yusof, 39.

Menerusi perkahwinan kedua, Wafa dikurniakan tiga anak iaitu Muhd Hakiim Rauf, 24, Muhd Kamil Rauf, 23, dan

Muhd Adib Rauf, 21.

Menerusi perkahwinan dengan Tajul, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham meyifatkan Allahyarham seorang yang kuat.

“Dia legenda. Saya nampak dia berlakon dari kecil. Apabila memasuki bidang hiburan, kita saling berhubung. Kami selalu kongsi mengenai sukan golf, cuma tidak berkesempatan main bersama.

“Selepas dia sakit, tidak tahu sangat tahap kesihatannya macam mana.

Sebab setiap kali jumpa dia tidak tunjuk malah jauh sekali nak bercerita. Tiga atau empat tahun lalu saya ada berjumpanya dan dia kelihatan ceria. Cuma, dia ada cakap dalam proses rawatan sikit.

“Walaupun arwah jarang muncul di kaca TV, tetapi dia banyak terbabit dengan aktiviti bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO). Sebab itu dia bawa namanya di situ,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 1:40pm
d