rap

Putar belit kisah cinta

Oleh Cik Pang

Baru-baru ini rakan Cik Pang bercerita mengenai sikap seorang artis wanita popular yang sopan santun tetapi suka cakap putar belit.

Ujar rakan itu, ia berkisar hubungan ‘cinta’ artis berkenaan dengan seorang usahawan muda kacak dan berjaya.

Khabarnya, artis itu sudah canang kepada beberapa teman rapat, dia ‘terpaksa’ bercinta atas tujuan tertentu.

Ikutkan hatinya, dia belum sedia menjalin hubungan kerana usia masih muda dan perjalanan karier seni masih jauh.

Bagaimanapun, kata rakan Cik Pang cerita sebenarnya mengenai hubungan cinta itu memang tiada kaitan dengan pihak lain.

Artis itu menjalin cinta atas kerelaan hatinya kerana lelaki berkenaan berduit serta bertaraf hartawan.

Cuma, bagi menjaga nama baiknya untuk tidak dikait sebagai ‘mata duitan’ dan materialistik, maka dia putar belit fakta.

Caranya bercerita seolah-olah usahawan berkenaan tergila-gilakan dia dan kemaruk mahu bercinta dengannya yang bergelar artis popular.

Cik Pang yang mendengar cerita itu dengan teliti, terasa sesak dada. Betapa artis wanita berkenaan angkuh dengan populariti dimiliki.

Pandangan Cik Pang pula, dengan duit berkepuk-kepuk dimiliki usahawan itu tidak ada sebab untuk dia sukar mendapatkan teman wanita.

Cuma, soal hati hanya usahawan itu yang tahu dan dia lebih terpikat kepada artis wanita berkenaan. Jadi, itu rezeki, bersyukur dan mengaku.

Buat apa susahkan diri putar belit cerita hanya untuk menjaga ego diri. Bagi Cik Pang, tak perlulah artis wanita itu terlalu memikirkan sama ada rakan atau peminatnya dapat terima atau sebaliknya.

Lagipun, usia meningkat saban tahun dan takkan mahu solo sepanjang hidup. Justeru, bila dah jumpa ‘teman istimewa’, cubalah bersyukur.

Peringatan Cik Pang, jangan terlalu mendongak langit takut nanti tersungkur menyembah bumi. Kehidupan ini umpama roda.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 9:00am
d