rap

HONNE lakar kejayaan

Oleh Georgie Joseph

Bakat duo HONNE dari Britain sememangnya diperakui ramai. Bahkan, duo ini semakin mendapat tempat di hati pencinta muzik elektronik tari (EDM) seluruh dunia.

Dianggotai James Hatcher selaku penerbit dan Andy Clutterbuck (penyanyi dan penerbit), mereka semakin rancak melakar kejayaan.

Meskipun masih dalam kategori artis baharu, kehadiran mereka mendapat sambutan luar biasa.

Bercerita mengenai strategi berkarya, HONNE berkata, mereka cenderung mencurahkan perspektif bersifat peribadi.

Bahkan, mereka mahu kongsi sebanyak mungkin kisah peribadi dan pengalaman hidup dalam karya yang dihasilkan.

“Kami suka selitkan pengalaman hidup dalam lagu. Album baharu kami lebih bersifat peribadi berbanding album pertama.

“Jadi, album seterusnya mungkin akan jadi seperti catatan diari,” katanya.

Bercerita lanjut proses pembikinan album Love Me/Love Me Not, HONNE mahu hala tujunya berbeza dengan album terdahulu. Mereka ternyata berpuas hati dengan hasilnya.

“Pembikinannya memang banyak beza. Kali ini kami banyak membincangkan hala tuju dan berfikir cara untuk lari daripada konsep lalu.

“Antara yang kami mahu ubah adalah tempo lagu dan penggambaran video muzik. Kami hasilkan lagu yang lebih rancak dan buat penggambaran pada waktu siang.

“Kami juga bekerja dengan lebih ramai orang berbanding album pertama. Pengalaman yang kami dapat sangat berharga,” katanya.

Enggan berlengah, HONNE kini dalam proses menyiapkan material baharu meski belum pasti akan tampil dengan album penuh.

“Kami baru saja mulakan beberapa minggu yang lalu. Kami bekerja keras untuknya dan buat secepat mungkin berbanding orang lain yang mengambil masa bertahun-tahun.

“Masih terlalu awal untuk kami kongsi mengenai projek ini. Malah, kami belum pasti sama ada buat single atau hasilkan album,” katanya.

Seperti pemuzik lain, HONNE mengakui mereka juga berdepan masa sukar untuk menghasilkan album. Bagaimanapun, mereka lebih suka menyiapkan album sepantas mungkin.

“Kami ambil masa setahun setengah untuk siapkan album sepenuhnya.

“Cabaran paling besar adalah memilih lagu terbaik. Kami biasanya menulis lebih 30 lagu setiap kali mahu hasilkan album dan kena pilih yang terbaik. Ia bukan proses yang mudah,” katanya.

Semakin sibuk dengan jadual siri jelajah dunia, HONNE mengakui sangat teruja dapat berkunjung buat kali kedua ke Malaysia, baru-baru ini.

Tahun lalu, HONNE berjaya mempamerkan persembahan mengagumkan di Good Vibes Festival 2018.

“Kami benar-benar gembira dapat membuat persembahan di festival itu yang produksinya sangat gah. Kali ini kami kembali pula dengan produksi sendiri.

“Sewaktu bermain di Good Vibes, kami dibawa ke tapak festival. Apabila kembali ke pusat bandar raya, kami tidur dan pulang awal pagi keesokan harinya.

“Jadi, kami tidak berpeluang meneroka Kuala Lumpur ketika itu. Kali ini kami sangat gembira dapat luangkan masa beberapa hari di sini,” katanya.

Berkongsi pengalaman menjelajah dunia, HONNE berkata, mereka sangat gembira setiap kali ke negara Asia.

“Setakat ini memang sangat menyeronokkan. Dalam siri jelajah kali ini kami berpeluang berkunjung ke beberapa negara Asia.

“Kuala Lumpur memberikan pengalaman baharu buat kami. Peminat di sini sangat ‘sporting’ dan bersemangat menyokong kami,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 10:01am
d