rap

Fakhrul UNIC sertai Majlis Tilawah Al-Quran

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“Sebagai artis, saya perlu menunjukkan contoh baik kepada rakan selebriti dan masyarakat, khususnya anak muda. Artis perlu diajak mendekati Al-Quran, jangan pinggirkan mereka sebaliknya perlu istiqamah mengajak mereka ke arah kebaikan.”

Demikian kata penyanyi nasyid, Fakhrul UNIC yang turut menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1440H/ 2019M yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban, mulai semalam hingga 22 Mac ini.

Katanya, ramai penyanyi memiliki suara merdu tetapi kekurangan program untuk mereka memperdengarkan bacaan ayat al-Quran.

“Artis perlu didekati dan diajak mengenali kitab. Jangan sesekali abaikan mereka biarpun berbeza latar belakang,” katanya yang memiliki pengalaman berkongsi ilmu agama bersama Faizal Tahir, Mawi, Diana Amir, Yana Samsudin dan ramai lagi.

Fakhrul atau nama sebenarnya Muhamad Fakrul Radhi Khamarudin, 33, berkata, ini penyertaan kali keempatnya dalam MTHQK dengan mewakili Kedah.

“Saya akan memperdengarkan bacaan al-Quran esok. Saya menyertai MTHQK kerana mencintai ayat suci al-Quran selain menjadi impian ibu bapa untuk saya mendekati kitab suci ini,” katanya yang bercita-cita mewakili negara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bulan depan.

Katanya, kali terakhir dia menyertai pertandingan tilawah di Kelantan pada 2012 dengan pencapaian terbaik menduduki tempat keempat.

“Saya berguru dengan Haji Kassim Ahmad yang juga Johan Tilawah dari Kedah pada 1980-an. Saya memiliki beberapa guru di Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur yang mengajar ilmu taranum,” katanya.

Dalam majlis tilawah di Dewan MPS malam tadi, tujuh peserta memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran iaitu Mohd Ayub Maidi dan Nur Faten Izzati Rablin dari Sabah, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan Che Ruhani Mohd Fathil dan dari Kelantan, Nur Syakura Mohamad Musa (Sarawak), Mohamad Syaheed Sabri (Pahang) dan Mohamad Yusuf Kassim (Johor).

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 2:31pm
d