rap

Kerjaya doktor bukan halangan

Oleh Amirul Haswendy Ashari

BIARPUN kecintaan terhadap seni muzik tradisi sangat mendalam, ia tidak boleh dibandingkan dengan bidang kesihatan yang menjadi kerjaya Dr Mohamad Ihab Ismail, 37.

Pernah menang Lagu Pop Etnik Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 2013 dan 2014, ia bukan tiket khas untuk ketepikan kerjaya tetap sebagai pegawai perubatan.

“Ia mencabar tetapi tidak mustahil. Komitmen mesti diberikan kepada penjawatan awam sebab itu adalah ikrar kami.

“Terutama sebagai pegawai perubatan, kesihatan pesakit itu tidak boleh dibanding nilai dengan apa-apa pun kerana ia paling utama,” katanya.

Ihab yang bakal bergelar pakar kardiologi akui sekiranya komitmen kerjaya lebih tinggi, maka dia terpaksalah beralah dari landasan muzik untuk apa saja aktiviti berkaitan muzik terutama bersama mentornya, Noraniza Idris.

Namun, untuk tempoh setahun ini bersempena siri jelajah Malai Solo Noraniza Idris, dia sudah pun diberikan tarikh untuk beberapa acara berkaitan.

“Apa yang saya perlu buat adalah kemukakan rayuan dan izin daripada jabatan supaya tarikh berkaitan dapat saya bergiat dalam landasan muzik.

“Ada antara tarikh itu saya boleh masuk contohnya 6 Mei hingga 4 Jun untuk Fiesta Aidilfitri, 2 hingga 4 Ogos (Fiesta Merdeka) dan Konsert Iktiraf Noraniza Idris di Singapura pada 9 November nanti,” katanya.

Katanya, ada beberapa tarikh lain dia tidak dapat turut serta kerana baru saja berpindah ke tempat baru di Pahang selepas berkhidmat di Sabah sejak beberapa tahun lalu.

Bercakap mengenai komitmen sebagai penyanyi, Ihab berkata ia mesti diselaraskan dengan tuntutan utama sebagai penjawat awam.

“Dalam soal ini tidak boleh berdolak-dalik. Jadi, kalau ada tawaran persembahan tetapi ada tanggungjawab kena langsaikan, saya kena utamakan dengan Kementerian Kesihatan terlebih dulu.

“Cuma apa yang saya suka dengan Noraniza Idris, kami ada persefahaman kerana dia adalah mentor yang tahu selok-belok kerja saya,” katanya.

Ihab berkata, walaupun sudah termeterai persefahaman antara mereka untuk bergerak secara aktif, ia tetap diasaskan kefahaman Noraniza mengenai tuntutan kerjaya utamanya.

Kiranya, tidak boleh ada paksaan dan seandainya ada komitmen kerjaya tetap, selalunya Noraniza sendiri akan mencari tarikh lain agar dapat disesuaikan dengan kehadiran Ihab.

Oleh itu, pada masa ini mereka perlu mencari jalan tengah yang boleh memberi manfaat kepada dua-dua pihak.

Lagu baru regu lelaki

Berkongsi perkembangan terkini, Ihab yang pernah muncul dengan lagu duet Puncak Gapura bersama Noraniza dalam perancangan untuk melancarkan single duet terbaru sekitar Ogos atau September ini.

“Ia adalah single duet bersama Azmira Arif apabila kami cuba menghasilkan regu duet lelaki yang sudah lama tiada.

“Kalau irama Malaysia dulu kali terakhir kita pernah dengar Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah, selebihnya hanya duet antara penyanyi perempuan dengan lelaki atau sesama penyanyi perempuan saja,” katanya.

Lagu berjudul Bintang Terang ciptaan Aidit Alfian dan Ahmad Fedtri Yahya disifatkan Ihab mempunyai idea yang besar, unik dan luar jangkaan.

Oleh itu, dia mahu fokus single itu dan melihat sejauh mana sambutannya barulah memikirkan strategi untuk single solo.

Apatah lagi, dia sudah memiliki lagu solo seperti Pahlawan Zafana, Titian Hidup dan Akar Zapin yang sudah pun memiliki tapak sendiri.

“Kini nak kena ada pembaharuan, jadi kena tampilkan genre berbeza dengan apa yang pernah saya ada.

“Kehendak muzik semasa sangat dinamik dan susah nak kenal pasti, kalau ikutkan juga aura dulu, bolehkah masyarakat menerimanya?” kata Ihab.

Sambungnya, andai mahu tampil dengan lagu solo baru, perlu bijak memilih lagu agar persembahan nanti tidaklah mendatar dan sama saja.

Dia berpendapat, sebagai penyanyi irama etnik perlu pandai gubah dan walaupun namanya tradisional, penggiat perlu terbuka dan membiarkan seni itu bercambah dengan lebih hebat.

Katanya, bentuk lagu itu tidak boleh sama dan kena ada dinamik perubahan dan setara dengan kehendak pasaran semasa.

“Disebabkan itu kita suka komposer baru seperti Hael Husaini. Walaupun coraknya apabila didengari sekali lalu tidak menampakkan irama tradisi tetapi elemennya sangat kuat.

“Kemudian dengar pula lagu terbaru Aisyah Aziz berjudul Bila Entah yang mempunyai klasik Melayu yang sangat kuat tetapi rona dan lagu itu tidak mengubah karakter Aisyah,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 5:30am
d