rap

Aaron minta orang ramai buat laporan polis

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Datuk Aaron Aziz memohon orang ramai yang sudah menghulurkan sumbangan kepada sindiket penipuan menggunakan gambar seorang bayi sudah meninggal dunia bagi mengutip derma supaya tampil membuat laporan polis.

Aaron berkata, dia berasa kecewa apabila mendapati maklumat yang diambil daripada laman Facebook Persatuan Kanser Bersatu Malaysia itu adalah scammer.

"Selalunya saya sangat berhati-hati berkongsi sesuatu tapi kali ini tengok gambar seorang bayi membuatkan terlalu beremosi. Saya minta maaf semua.

"Jadi saya harap kepada sesiapa yang sudah menderma untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dibuat terhadap individu terbabit.

"Laporan polis ini tidak boleh saya seorang. Kita perlu bekerjasama supaya scammer ini ditumpaskan. Apabila polis mempunyai bukti cukup selepas pihak yang menderma tampil membuat laporan, ia akan memudahkan urusan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Aaron membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, hari ini berkenaan penipuan sindiket itu.

"Saya turut menderma ke akaun itu sebab berasakan ia benar apatah lagi status dimuat naik daripada Facebook Persatuan Kanser Bersatu Malaysia. Sudah tentu saya percaya.

"Namun pagi tadi saya mendapat panggilan yang memaklumkan perkara itu palsu. Saya terus memadam status yang dimuat naik semalam dan pergi membuat laporan polis," katanya.

Hasil carian di internet mendapati bayi bernama Derek Cantor yang dilahirkan pada November 2016 sudah meninggal dunia pada April 2017 kerana kanser.

Berita berkaitan

'Saya mohon maaf kerana kongsi berita palsu'

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 4:41pm
d