rap

Syafiq bimbang ada orang sabotaj

Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI meningkat naik, Syafiq Farhain mengakui timbul rasa bimbang andai ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyunting gambarnya dengan tujuan sabotaj kerana isu itu akan menjejaskan nama baiknya sebagai anak seni dan anggota bomba.

Melihat situasi menimpa beberapa rakan artis yang terpalit dengan penyebaran gambar serta video tidak senonoh, kata Syafiq, 25, dia berharap perkara itu tidak berlaku pada dirinya.

“Kalau tiba-tiba keluar gambar macam itu, saya tidak tahu dari mana kerana tidak pernah buat benda bukan-bukan. Saya akui, memang ada rasa bimbang terpalit dalam kontroversi seperti itu.

“Bagaimanapun, tidak perlu terlalu takut kalau kita berada di pihak yang benar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih, pelbagai cara boleh dibuat untuk menyunting gambar seolah-olah seseorang melakukan perkara tidak senonoh.

“Hinggakan kalau lihat sekali imbas pun nampak macam betul sedangkan sebenarnya ia adalah suntingan semata-mata,” katanya.

Anak kepada penyanyi Saleem itu berkata, dia boleh menafikan gambar itu adalah palsu tetapi sedikit sebanyak pastinya situasi itu akan menjejaskan karier seni dan pekerjaannya sebagai penjawat awam.

“Saya tahu tidak buat, boleh cakap benda itu tidak betul tapi ia tetap memberi kesan pada kerjaya seni.

“Saya juga kena jaga imej pasukan bomba. Saya tidak boleh rosakkan nama baik sebagai penyanyi dan anggota bomba.

“Bagaimanapun, Malaysia ada undang-undang. Kita boleh cari dan saman orang yang cuba memburukkan nama kita dengan gambar palsu itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 2:54pm
d