rap

Langkah berani Hastaq

Oleh Norhayati Nordin

BAHARU setahun ditubuhkan, kumpulan muzik yang menggelar diri mereka #HastaQ Band mengambil langkah berani muncul dengan dua single sekali gus. Dianggotai tiga pemuzik sambilan, #HastaQ Band membariskan Lan Lada selaku vokalis dan pemain gitar, Natt (gitar/bass) serta Faiz (dram).

Bercerita mengenai dua single itu, Lan Lada berkata, #HastaQ Band memilih ketengahkan karya ciptaan komposer berpengalaman, Wan Rosmadi. Lan Lada atau nama sebenarnya Mazlan Bujang berkata single dipertaruhkan #HastaQ Band berjudul Pergi dan Luka Yang Tertinggal.

“Apa yang pasti, single Luka Yang Tertinggal agak menarik kerana ia kesinambungan daripada lagu Sayap Terluka dendangan asal Kumpulan Panji.

“Namun, single Pergi juga tidak kurang hebatnya dan melakar pencapaian agak baik untuk kembara seni #HastaQ Band .

“Single Pergi pernah menjuarai carta radio Terengganu FM selama 10 minggu dan ia di luar jangkaan,” kata Lan.

Sehubungan itu, Lan mengharapkan semoga dua single itu berpeluang mendaki carta radio popular pula. Bagi Wan Rosmadi, kepercayaan diberikannya terhadap vokal Lan Lada nyata tidak sia-sia kerana dua single itu mampu dinyanyikan dengan baik.

“Memang saya sendiri yang memilih #HastaQ Band untuk rakam dua lagu ini kerana tertarik dengan vokal Lan Lada.

“Apatah lagi, perjuangan muzik #HastaQ Band yang bergenre alternatif dan pop rock sesuai de-ngan karya ciptaan saya.

“Terus terang, saya pun sangat puas hati dengan vokal Lan Lada ketika dia merakamkan Pergi dan Luka Yang Tertinggal,” katanya.

Meskipun masih rancak mempromosikan single Pergi dan Luka Yang Tertinggal, #HastaQ Band kini dalam proses menyiapkan single album kedua mereka berjudul Tazarina.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 5:30am
d