rap

'Peluru' Azzara mengena

Oleh Ardini Sophia Sina

DITUBUHKAN pada 2010, perjalanan seni Azzara Band yang dianggotai empat anak muda ini penuh liku. Mereka awalnya hanyalah sebuah kumpulan yang menghiburkan tetamu pada majlis perkahwinan dan aktif sebagai pemuzik jalanan.

Berkebolehan menggubah lagu sendiri, Mohd Azrizal Aziz atau Ejai selaku vokalis kumpulan itu berkata, ramai menyokong mereka mencuba nasib dalam arus perdana.

Ruang itu mula terbuka apabila Azzara Band bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman pada 2016. Mereka berusaha keras tampil dengan beberapa lagu agar kehadiran mereka disedari umum.

Namun begitu, ia tidaklah semudah yang disangka. Pada 2017, kumpulan yang dianggotai Mohd Hairol Azhar Ramli atau Boy selaku pemain dram, Mohammad Khairul Azam Md Yasin atau Kidz (gitar) dan Mohd Fauzan Mohammed Rofie atau Rop'z (bass) sepakat membawa haluan masing-masing dan mengundur diri daripada syarikat rakaman berkenaan.

Bagaimanapun, lagu baharu mereka berjudul Alalala Sayang menyelamatkan Azzara Band sekali gus memberikan nafas baharu dan semangat untuk bangkit semula meneruskan kembara seni mereka.

“Ketika itu, masing-masing sudah putus asa dan mula membawa haluan sendiri. Kami rasa kecewa apabila segala usaha yang dilakukan tidak melonjakkan nama kami dalam industri.

“Apabila kata sepakat dicapai, saya baru sedar masih ada satu lagu lagi ada dalam simpanan. Kami bincang apa yang perlu dilakukan dengan lagu itu. Mahu beri pada orang lain rasa sayang pula.

“Kami rancang untuk kerjasama dengan Husna yang bernaung di bawah label MVM. Jika mahu berkolaborasi kenalah melalui saluran yang betul. Selepas bertemu pihak MVM, kami ditawarkan bernaung di bawah syarikat itu,” kata Ejai.

Alalala Sayang diumpamakan sebagai ‘peluru’ terakhir sebelum sepenuhnya berundur daripada dunia seni. Siapa sangka, ‘peluru’ itu berjaya ditembak tepat pada sasaran.

Buktinya, jumlah tontonan klip lagu itu sudah mencecah lebih dua juta dalam masa tiga minggu. Perkara itu sememangnya mengejutkan mereka dan timbul rasa menyesal kerana terlalu awal berputus asa.

“Ya, memang rasa menyesal sebab awal sangat putus asa. Saya pun menyesal cakap rezeki kami mungkin setakat sini saja sedangkan kami hanya perlu sabar dan tidak cepat mengalah.

“Kami sama sekali tidak sangka orang ramai menerima lagu ini dengan baik. Alhamdulillah, radio pun sudah mula mainkan lagu ini. Kami umpama mati hidup semula apabila karya ini berjaya menarik perhatian,” kata Ejai.

Berikutan kejayaan itu, Azzara Band kian bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak lagu. Meski sedar persaingan di pasaran sangat sengit, mereka tetapi positif.

“Kami pun tidak sangka akan dapat sambutan memberangsangkan. Jika dibandingkan dengan penyanyi lain, siapalah kami. Memang mengejutkan apabila melihat jumlah tontonan di YouTube tinggi. Mungkin inilah hikmah di sebalik kesabaran kami selama ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 6:00am
d