rap

Kerja keras buahkan hasil

Oleh Ardini Sophia Sina

MENYIMPAN impian bergelar penyanyi sejak usia 14 tahun, Ava Max kini mampu tersenyum lega kerana karier yang dibina sejak 2013 mula bersinar.

Demi merealisasikan cita-citanya, Ava sanggup berpindah ke Los Angeles ketika berumur 17 tahun. Namun, bukan mudah untuknya menggapai impian itu. Dia hampir mengalah dan berasakan apa yang dikejar tidak akan menjadi kenyataan.

Tahun lalu, Ava mempertaruhkan lagu Sweet But Psycho. Tidak meletakkan sebarang harapan, lagu berkenaan tiba-tiba meledak dan berada di tangga teratas carta muzik di Amerika Syarikat selama empat minggu.

“Saya terkejut dan seakan-akan bermimpi apabila lagu ini berada di tempat pertama selama empat minggu berturut-turut. Saya selalu bergurau kejayaan akan tiba selepas 10 tahun. Apabila ia benar-benar berlaku, saya terkedu.

“Sudah terlalu lama saya berusaha tetapi belum nampak harapan untuk bergelar penyanyi. Terdetik di hati, apa yang saya harapkan itu mungkin tidak akan terjadi.

“Ketika mempertaruhkan Sweet But Psycho, saya tidak meletakkan sebarang harapan. Bagaimanapun, apabila lagu itu mendapat sambutan luar biasa, saya rasa sangat bersyukur dan gembira,” katanya.

Sering berpindah randah ketika zaman kanak-kanaknya, Ava berazam menghasilkan video muzik berlatarbelakangkan bendera pelbagai negara bagi melambangkan penerimaan satu sama lain.

“Saya berasal dari Albania. Ketika berpindah ke Carolina Selatan, saya berasa seperti orang luar. Saya selalu menjadi mangsa buli di sekolah. Sebab itulah saya hanya belajar di rumah.

“Saya dibuang sekolah hanya kerana mempertahankan diri daripada terus dibuli. Pengalaman itu tidak menyeronokkan. Itu antara sebab saya buat penggambaran di sekolah.

“Buli bermula dari sekolah dan keadaan itu berterusan. Terlalu ramai yang merasai keperitan menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah.

“Saya ingin tunjukkan kita semua sama dan kalau berbeza dengan orang lain pun, ia tidak menjadi masalah,” katanya. Bercakap mengenai penggunaan media sosial, Ava mengakui kurang senang dengan sikap segelintir netizen yang suka membanding-bandingkan penggiat seni.

“Ini perbuatan yang tidak sihat. Pada zaman serba canggih ini, penyanyi baharu yang mencipta nama perlu bersedia dengan kritikan umum.

“Awalnya, saya sangat benci situasi itu. Bagaimanapun, saya sudah boleh menerima keadaan itu kerana media sosial menjadi medan untuk berkomunikasi dengan peminat,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 4:00am
d