rap

Rancak siapkan album baharu

Oleh Norhayati Nordin

DUA belas tahun membina nama sebagai penyanyi dan pelakon membuatkan pelakon Hazama kian matang.

Malah, dia dilihat semakin bijak membuat keputusan dan pilihan untuk kebaikan kariernya. Malah, kini populariti bukan lagi keutamaan.

Berbicara mengenai kerjaya seni, jejaka berusia 35 itu mengakui tahun lalu fokusnya lebih kepada karier lakonan kerana menerima banyak tawaran.

“Selain terbabit dengan drama Ammar dan Opie untuk TV3, saya juga sibuk di lokasi penggambaran filem Tiada Tajuk arahan Mawi yang akan menemui penonton 4 April ini. Jadi, tumpuan memang pada lakonan saja. Hinggakan, saya sendiri terlepas pandang menghantar lagu untuk pencalonan program Muzik-Muzik.

“Maka, berehatlah saya seketika daripada bidang nyanyian. Apa pun, sama ada nyanyian atau lakonan, kedua-duanya saya ambil serius,” katanya.

Hazama berkata, dia kini rancak menyiapkan album baharu yang memuatkan lima lagu.

“Alhamdulillah, dalam pada sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, saya masih berpeluang menghasilkan album baharu. Setakat ini, beberapa lagu sudah dirakam dan jika tidak ada aral melintang ia akan dilancarkan tahun ini juga.

“Segala proses penerbitan album ini saya urus sendiri. Justeru itu, saya berharap moga apa yang diusahakan ini berjalan lancar,” katanya.

Hazama atau nama sebenar Hazama Ahmad Azmi berkata, kontraknya dengan syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment sudah tamat.

“Selepas lapan tahun bersama Rocketfuelt, sudah tiba masa untuk saya bergerak sendiri menguruskan karier nyanyian. Apatah lagi saya makin berusia dan pengalaman ditimba selama ini banyak membantu. Saya harus lebih berusaha,” katanya.

Jelas Hazama, dia memilih tidak menyambung kontrak memandangkan industri kini didominasi bakat baharu.

“Saya berasakan wajar untuk beri ruang kepada penyanyi baharu berbakat bernaung di bawah syarikat rakaman. Dengan bantuan tenaga profesional, kerjaya mereka pasti lebih lancar.

“Saya sudah boleh berdikari dan kena belajar menguruskan kerjaya sendiri,” katanya.

Sentiasa berfikiran positif, Hazama berkata, dia tidak gentar memikirkan rezekinya selepas ini. Dia yakin Allah sudah mengatur yang terbaik buatnya.

Sorok kebahagiaan

Dua tahun membina rumah tangga dengan pemuzik berpengalaman Genervie Kam, pasangan ini belum dikurniakan zuriat. Menganggap belum ada rezeki, Hazama bersikap terbuka mengenai perkara itu dan menyerahkan segala-galanya kepada Ilahi.

“Saya dan isteri sentiasa positif mengenai anak. Mungkin tiada rezeki kerana kami belum bersedia sepenuhnya. Dengan kesibukan karier masing-masing, rasanya belum sesuai untuk kami ada anak. Bimbang nanti kalau ada kurang perhatian pula.

“Apapun, sama ada memiliki anak atau tidak, apa yang penting kami bahagia meski jarang memuat naik gambar bersama di Intagram (IG). Saya kurang gemar berkongsi gambar mesra bersama isteri kerana lebih baik bahagia itu disorok,” katanya.

Ujar Hazama, dia sedar bukan semua pengikut di IG suka melihat gambar mesra, jadi biarlah berpada-pada.

“Lagipun, saya tidak mahu buka ruang kepada netizen untuk menulis komen bukan-bukan hingga mengguris hati kami.

“Jadi, lebih baik saya berkongsi mengenai kerjaya daripada gambar peribadi dengan isteri dalam IG,” katanya.

Selain aktif menyanyi dan berlakon, Hazama giat mengembangkan bakat sebagai pencipta lagu.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 6:00am
d