rap

'Biarlah rahsia' - Anzalna

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA merahsiakan dulu jantina bayi kerana mahu buat kejutan untuk peminat nanti. Mengikut perancangan, saya dan suami juga akan umumkan jantina bayi kami dalam satu majlis doa selamat yang dirancang bulan depan,” kata pelakon Anzalna Nasir mengenai jantina bayi dalam kandungannya.

Anzalna berkata, dia sudah membuat pemeriksaan untuk mengesan jantina bayi dalam kandungannya yang kini mencecah lebih enam bulan itu, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, bayi dalam kandungan sihat ketika ini dan doktor juga sudah beritahu jantina bayi kami. Kami sebenarnya tidak kisah sama ada dapat anak lelaki atau perempuan. Apa yang penting bayi yang dilahirkan nanti sihat dan cukup sifatnya,” katanya kepada Harian Metro.

Anzalna berkata, dia dijangka bersalin di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

“Saya berharap semoga anda sama-sama mendoakan proses kelahiran bayi berjalan lancar dan dipermudahkan Allah. Insya-Allah,” katanya.

Mengenai nama anak, Anzalna berkata, mereka belum putuskan nama yang sesuai lagi.

“Kami juga akan berbincang dengan ahli keluarga untuk memilih nama anak kami nanti,”katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Anzalna bertanyakan soalan kepada adik-beradiknya mengenai jantina bayi dalam kandungannya itu.

"Orang tua cakap ibu mengandung yang suka melaram ni tandanya nak dapat perempuan, betul ke? Maknanya keturunan saya memang semua perempuan ke macam mana?” tulisnya.

Tak cukup dengan itu, ramai peminat turut meninggalkan pandangan bahawa kuat melaram bermaksud akan mendapat cahaya mata lelaki.

Pada masa sama, Anzalna turut terhibur dengan pelbagai komen daripada peminat-peminatnya.

"Hahahaha tergelak baca komen ibu-ibu. Macam-macam cerita. Terima kasih kerana sudi berkongsi," tulisnya.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 4:29pm
d