rap

'Bagi 'can' sampai Ramadan ini' - Linda Rafar

Oleh Ardini Sophia Sina

“SAYA masih beri peluang kepada mereka yang belum tampil memohon maaf untuk berbuat demikian sehingga Ramadan ini,” kata penyanyi dan pelakon Linda Rafar, 41, berkongsi perkembangan saman terhadap pengguna laman sosial yang menulis komen keterlaluan hingga memburukkan diri dan keluarganya berhubung isu fitnah sekumpulan jururawat di Hospital Shah Alam pada Disember lalu.

Linda berkata, masih ada kira-kira separuh daripada individu berkenaan belum memenuhi tuntutan permohonan maaf walaupun berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Peguam saya bercadang untuk teruskan saman kepada mereka yang belum memohon maaf tetapi saya minta untuk diberikan sedikit masa lagi dan dia berikan tempoh sehingga Ramadan ini.

“Kepada yang mengutuk, fitnah dan berkata buruk mengenai saya dan keluarga tetapi malu untuk memohon maaf secara terbuka, hantar menerusi mesej pun boleh. Saya terima dan tidak akan teruskan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Linda yang menjadi selebriti pertama mengemukakan saman terhadap netizen yang memburukkannya di laman sosial berkata, tindakan yang dibuat itu sedikit sebanyak membuatkan netizen akan lebih berhati-hati dalam setiap komen mereka.

“Baguslah. Tindakan saya dan selebriti lain secara tidak langsung dapat mendidik pengguna laman sosial supaya tidak keterlaluan dan sesuka hati menulis komen yang bukan-bukan.

“Sebelum ini, mungkin ramai yang tidak tahu kita boleh saman netizen atau rasa sia-sia kerana yang tinggalkan komen keterlaluan itu adalah akaun palsu tetapi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh mencari maklumat mengenai pemilik akaun itu termasuklah alamat rumah mereka,” katanya.

Januari lalu, Linda menuntut lebih 100 individu membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform media sosial yang digunakan atau berdepan tindakan saman daripadanya.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 5:04pm
d