rap

'Tak mungkin jadi penyanyi' - Saharul Ridzwan

Oleh Norhayati Nordin

“WALAUPUN cara rap saya untuk lagu Buku Putih bersama Ajai, ada pendengar yang suka dan sebaliknya, tak mengapa. Saya terima semua komen itu dengan hati terbuka dan positif kerana saya sekadar mencuba,” kata pelakon Saharul Ridzwan.

Saharul, 29, berkata, dia tidak pernah terfikir akan tampil sebagai penyanyi solo apatah lagi memiliki lagu sendiri.

“Saya seorang yang sedar diri. Jadi, untuk muncul dengan single solo rasanya tidak mungkin akan dihasilkan. Cukup dengan percubaan menyanyi rap ini dulu. Kalau nak menyanyi solo, saya perlu masa untuk hadir kelas vokal. Ini kerana, saya tidak mahu dilabel sebagai penyanyi syok sendiri,” katanya yang pernah popular dengan drama Jangan Benci Cintaku di TV3.

Ditanya pandangan jika mendapat tawaran lagu solo daripada komposer terkenal, Saharul berkata, dia mungkin mempertimbangkan saja.

“Sebenarnya, bakat saya lebih pada lakonan berbanding nyanyian. Justeru, saya tidak mahu meletak harapan tinggi pada diri.

“Sudah berpeluang menghasilkan lagu Buku Putih itu pun, saya sangat bersyukur. Saya puas dapat mencuba,” katanya.

Lagu Buku Putih yang dilancarkan Oktober tahun lalu adalah hasil ciptaan Ajai manakala lirik ditulis bersama oleh Ajai dan Saharul.

Sejak lima bulan muzik video rasmi Buku Putih dimuat naik di YouTube, ia sudah mencatat lebih 46,000 tontonan dengan pelbagai komen berbaur kritikan pedas.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 5:46pm
d