rap

Jurusolek minta maaf dengan Nina Iskandar

Oleh Syafil Syazwan Jefri

JURUSOLEK, Elle Rahman, 45, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka seperti diminta peguam kepada pelakon, Nina Iskandar.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Elle menerima notis tuntutan yang dihantar peguam, Mohd Irwan Mohd Mubarak selepas tular kenyataan yang mengaitkan Nina dengan keruntuhan rumah tangga seorang penolong pengarah.

“Selepas berbincang dengan peguam saya dan menimbang tara apa yang terbaik, saya membuat keputusan untuk memohon maaf secara terbuka kepada Nina,” katanya kepada Harian Metro.

Elle juga kesal dengan tindakannya memuat naik status berunsur fitnah di Facebook yang ditujukan kepada Nina sebelum ini.

“Walaupun saya tidak menyebut namanya, saya sedar ramai yang tahu siapa individu yang saya maksudkan. Jadi, saya amat kesal dengan tindakan saya itu dan sebagai manusia, saya ingin memohon maaf dan ingin menyelesaikan isu ini secara baik.

“Saya tolak ego dan maruah saya ke tepi dan saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama di masa akan datang. Saya mengaku salah kerana saya yang mulakan,” katanya.

Ditanya sama ada dia ada menghubungi pihak Nina atau peguamnya, Elle berkata, dia ada menghubunginya semalam.

“Semalam, saya cuba menghubungi pejabat peguamnya sejak pagi. Disebabkan dia tidak berada di pejabat, saya cuba hubungi telefon bimbitnya. Namun, dia masih gagal dihubungi.

“Saya juga ada menghubungi Nina menerusi mesej peribadi (DM) di Instagram, namun tiada jawapan. Jadi, saya rasa untuk tidak panjangkan lagi perkara ini, lebih baik saya bertindak untuk membuat permohonan maaf seperti yang diminta dalam notis,” katanya.

Elle menerima notis daripada peguam Nina pada Jumaat lalu dan diberikan masa selama tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di portal berita tempatan.

“Selain membuat permohonan maaf di portal berita tempatan, saya juga akan membuat permohonan maaf di platform media sosial saya seperti Facebook dan Instagram.

“Kalau dapat berjumpa dengan Nina, saya nak salam dan meminta maaf kepadanya. Industri hiburan kita kecil, jadi saya tak mahu hal sebegini merosakkan hubungan baik antara saya dan artis berbakat seperti Nina,” katanya.

Isu fitnah itu mula diperkatakan selepas satu portal hiburan menyiarkan kenyataan daripada satu sumber yang mengatakan bahawa Nina menjadi punca perceraian antara seorang penolong pengarah dengan bekas isterinya.

Bagaimanapun, Nina menolak dakwaan mengenai hubungannya dengan lelaki itu dan memberitahu bahawa mereka hanya berkawan secara profesional.

Sabtu lalu, Nina yang juga pelakon drama Setelah Cinta Itu Pergi mengadakan sidang media memaklumkan mengenai beberapa surat notis tuntutan permohonan maaf yang sudah dihantar kepada tiga pihak membabitkan isu fitnah terhadapnya.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 10:54am
d