rap

'Terima kasih semua'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SEPERTI diberi peluang kedua dalam hidup. Itulah perasaan Shahmirnuri atau Boy, anak kepada bekas pemain dram Search, Yazit Ahmad apabila selamat menjalani pembedahan memasukkan bateri dalam jantungnya pada 14 Mac lalu. Boy, 34, mengalami masalah bengkak jantung dan memerlukan kos kira-kira RM40,000 untuk menjalani pembedahan ini.

Walaupun pada mulanya agak sukar, semuanya berubah apabila Harian Metro memaparkan keluhan bapanya untuk mencari wang berkenaan yang mendapat reaksi segera masyarakat terutama peminatnya dan pelbagai pihak lain untuk membantu memberi sumbangan.

“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih terhadap doa serta sumbangan mereka yang membantu saya. Sukar nak digambarkan kedua-dua perasaan ini. Saya akui agak terkedu apabila dimaklumkan berkenaan kos pembedahan. Ayah sudahlah sakit dan pendapatannya tak seperti dulu.

“Saya pula bekerja sendiri dan nak cari jumlah itu sangat mustahil. Apa yang saya boleh cakap, Allah permudahkan jalan saya. Terima kasih kepada semua,” katanya yang ditemui pada majlis kenduri kesyukuran dan doa selamat, baru-baru ini.

Menurut Boy, dia berasa keadaan dirinya stabil selepas melakukan pembedahan ini.

“Cuma, waktu mula-mula dipakai bateri, terasa agak ganjil untuk biasakan diri kerana terasa ada benda pelik dalam badan kita. Tapi alhamdulillah makin lama keadaannya semakin bagus dan saya dah mula dapat menyesuaikan diri,” katanya.

Bercerita keadaannya ketika mula mengalami penyakit ini, Boy berkata, dia tiba-tiba mengalami perasaan gelisah tanpa sebab.

“Saya tak tahu ada masalah jantung bengkak. Terasa macam tak boleh tidur dan degupan jantung tak menentu sekejap laju dan sekejap perlahan. Namun saya tak rasa sesak nafas atau pernah jatuh, cuma terasa kurang selesa kerana susah nak tidur dan dapat rehat secukupnya.

“Selepas buat keputusan melakukan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), mereka dapati kadar denyutan jantung saya tak stabil, sekejap tinggi sekejap rendah dan terus masukkan saya ke wad kecemasan,” katanya.

Sebelum mengalami masalah ini, Boy mengakui dirinya seorang perokok. Bagaimanapun, dia sudah mengurangkannya dan cuba berhenti secara perlahan-lahan.

“Kita dah tahu kita sakit, tentulah kena kurangkan, tapi saya tak boleh berhenti secara mengejut. Saya mula alami masalah ini pada Ogos dan sejak itu mula kurangkan merokok. Doktor juga mencadangkan supaya cari alternatif lain untuk berhenti merokok secara selamat,” katanya.

Ditanya punca sebenar penyakitnya, Boy berkata, dia sendiri masih tercari-cara jawapannya.

“Segala yang doktor sarankan termasuk proses imbasan, saya buat dua kali. Begitu juga dengan ujian lain seperti pengimejan resonans magnetik (MRI), stress test, eco-cardiogram dan banyak lagi, dibuat dua kali.

“Mereka gagal kenal pasti punca sebenar penyakit saya. Cuma, doktor beritahu jantung saya memang lemah. Kesimpulannya mereka kata memang jantung saya bermasalah dan bukan kerana faktor keturunan atau sebagainya,” katanya.

Memandangkan bateri dimasukkan di bahagian kiri dada, doktor menyarankan supaya Boy mengurangkan penggunaan tangan kirinya ketika melakukan pekerjaan.

“Sekarang saya bimbangkan pelbagai kemungkinan bimbang bateri tak berfungsi dan kena buka semula. Nanti ambil masa lagi dan saya kena berehat dalam tempoh yang lama. Itu yang saya risaukan dan perlu jaga kesihatan betul-betul,” katanya yang menyarankan setiap individu membuat pemeriksaan secara berkala untuk mengenal pasti penyakit mereka.

Sementara itu, Yazit, 57, meluahkan perasaan lega kerana majlis kesyukuran dan doa selamat yang berlangsung di Masjid Salahuddin al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur ini berjalan lancar.

“Ia bukanlah besar tapi sebagai tanda kesyukuran saya. Ia bagi memenuhi niat nak buat kenduri ini apabila semua proses berjalan lancar. Saya mahu meraikan peminat dan penyumbang yang banyak membantu. Ia cara terbaik untuk balas budi mereka.

“Saya mohon kepada Allah supaya memberikan kesihatan yang baik untuk anak, diri, keluarga dan rakan agar sentiasa murah rezeki serta panjang umur,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 3:55pm
d