rap

Eizlan dan Adam cipta rekod bersama APM

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON Datuk Seri Eizlan Yusof dan Adam Shahz, berbangga serta bersyukur kerana usaha mereka bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengharungi laluan laut sejauh 718.57 kilometer diiktiraf Malaysia Book of Records, semalam.

Eizlan berkata, pelayaran terjauh menerusi Ekspedisi Amphibious Craft dari Melaka ke Langkawi selama enam hari itu membabitkan 133 peserta.

"Kami melalui jalan laut dengan pelbagai rintangan dan cabaran antaranya panas terik, hujan, laut bergelora tetapi akhirnya berbaloi dengan pengiktirafan ini.

"Secara peribadi ini satu anugerah buat kami selaku ikon selebriti Cdert Ohhsem dalam bekerjasama dengan warga APM bagi menaikkan nama APM di persada dunia.

"Rata-rata peserta juga turut menzahirkan rasa bangga dan syukur selepas lima hari berhempas-pulas membelah badai dan ombak laut,” katanya.

Adam Shahz pula berkata, mereka berharap usaha dilakukan itu akan menyemarakkan semangat berpasukan serta dapat menarik minat masyarakat luar untuk bersama-sama menyertai APM.

“Ia juga menjadi bukti anak seni seperti kami mampu menjadi contoh baik kepada peminat secara keseluruhan,” katanya.

Ekspedisi yang bermula 21 Mac lalu itu bersempena sambutan ulang tahun ke-67 APM selain mempromosi APM sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

Berita berkaitan

APM cipta rekod pelayaran terjauh di Malaysia

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 2:19pm
d