rap

Aina bangkit dengan Sumpah

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Aina Abdul mengakui pernah berasa tertekan apabila karier seni nyanyiannya tidak bergerak laju meskipun meraih tempat kedua dalam program realiti Mentor Legend pada 2014.

Aina ketika ditemui berkata, dia juga hampir hilang keyakinan diri untuk bertemu orang apabila sesetengah perkara yang dirancang tidak membuahkan hasil.

"Saya tak tahu di mana silapnya hingga kerjaya nyanyian malap selepas tamatnya program terbabit.

"Saya akui pernah rasa sedih, menangis, tertekan dan rendah diri apabila melihat rakan lain menonjol sedangkan saya masih berada di tempat sama," katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun enggan mengambil endah dengan dugaan dan cabaran yang perlu ditempuh sebaliknya mahu terus bangkit untuk membina nama dalam bidang muzik.

Katanya, dia kini muncul dengan single terbaharu berjudul Sumpah dan yakin dengan tulisannya itu akan diterima ramai.

"Pengalaman yang dilalui ketika berdepan momen menyedihkan itu saya gunakan untuk bangkit dengan Sumpah.

"Biarpun lambat, saya tak kisah kerana yakin dengan bakat yang dipertaruhkan. Saya juga menyimpan hasrat supaya lagu ini berjaya mara ke pentas Anugerah Juara Lagu nanti.

"Saya berharap lagu ini akan dapat memperkenalkan nama dalam industri dan membuka mata orang ramai untuk melihat bakat yang dipertaruhkan," katanya.

Selain melancarkan single, Aina juga melancarkan muzik video Sumpah yang menampilkan pelakon dan pengacara Qi Razali sebagai hero.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 2:31pm
d