rap

Eira dilayan bagaikan diva di Indonesia

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA tidak sangka berjaya membina nama sebagai penyanyi di negara seberang selepas hampir lima tahun berulang-alik ke sana.

“Bukan saja pernah membuat persembahan di hadapan 150,000 orang, malah, saya juga dilayan bagaikan seorang diva di sana,” kata penyanyi dan pelakon Eira Syazira ketika mengulas perkembangan karier nyanyiannya di Indonesia ketika ini.

Menurutnya, dia juga sudah menandatangani kontrak dengan syarikat pengurusan artis popular di Indonesia, Positif Arts Entertainment selama lima tahun yang menguruskan karier nyanyiannya di sana.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana bakat nyanyian diterima di Indonesia. Buat masa ini, pengurusan juga mahu saya fokus pada bidang nyanyian dulu.

“Sebelum ini, saya pernah membuat persembahan bersama kumpulan Armada di pentas.

“Terbaru, saya akan berduet dengan Wali Band pula menerusi satu lagu baru,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas perancangan untuk berhijrah bersama keluarga di Indonesia, kata isteri pelakon Azad Jazmin itu, dia sudah membuat permohonan permit kerja di sana dan prosesnya juga mengambil tempoh selama enam bulan.

“Saya dan suami sudah memiliki rumah yang disediakan pengurusan di Jakarta tetapi masih berulang-alik ke Kuala Lumpur kerana anak masih di tanah air.

“Selepas permohonan permit kerja selesai barulah kami merancang untuk membawa anak berpindah dan bersekolah di Jakarta,” katanya.

Walaupun sibuk memenuhi undangan persembahan, Eira tidak pernah lupa dengan tanggungjawab sosialnya membantu golongan memerlukan dengan menubuhkan Eira Syazira Care (ESC) pada awal tahun ini.

“Hati saya berasa tersentuh melihat penderitaan golongan memerlukan dan kawasan terjejas bencana ketika membuat persembahan di kawasan pedalaman di Indonesia sebelum ini.

“Justeru, saya menubuhkan ESC bergabung dengan Wali Band yang menubuhkan Wali Care Foundation khusus untuk membantu golongan memerlukan serta mangsa bencana di Lombok dan Kota Palu, Sulawesi,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 3:46pm
d