rap

Scha ambil tindakan terhadap pengeluar produk

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON dan pengacara, Scha Alyahya memaklumkan bakal mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat kosmetik kerana kelalaian mereka yang menyebabkan kerosakan 3,215 botol wangian.

Notis peringatan sudah dihantar kepada pengeluar produk terbabit sejak dua bulan, namun pihaknya belum menerima sebarang maklum balas.

"Pihak guaman saya sudah menghantar notis peringatan kepada pihak pengeluar itu. Namun, belum ada sebarang maklum balas daripada mereka sehingga kini.

"Kalau belum ada sebarang jawapan daripada mereka, kami akan hantar surat tuntutan supaya mereka bertanggungjawab di atas kelalaian sehingga menyebabkan kerugian," katanya kepada Harian Metro.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir berkata, tindakan itu adalah perlu untuk memastikan kejadian sama tidak berulang lebih-lebih lagi kepada selebriti yang juga usahawan.

"Ini bukan saja menjadi pengajaran kepada pengeluar itu, tapi juga buat selebriti yang menjadi usahawan.

"Dalam menjalankan perniagaan, kita perlu teliti dan memahami setiap terma yang ada dalam kontrak. Ini supaya tidak berlaku sebarang komplikasi ketika perniagaan berjalan," katanya.

Terdahulu, pada 30 April lalu Scha dan pasangannya, Awal Ashaari selaku plaintif memfailkan saman terhadap D'Haja (M) Sdn Bhd selaku defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM300,000 atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian berhubung penjualan produk minyak wangi yang dikeluarkan oleh pasangan selebriti itu.

Rabu lalu, pasangan selebriti itu memenangi kes tuntutan saman RM345,305 terhadap syarikat terbabit yang juga menjadi pengedar kedua minyak wangi eksklusif mereka itu.

Terkini, Scha akan menjadi juri program terbaru TV3, Lagu Cinta Kita bersama seorang lagi juri iaitu penyanyi, Hael Husaini.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 4:12pm
d