rap

Ilyas nekad berjuang

Oleh Norhayati Nordin

Inspirasi kejayaan bakat kelahiran Singapura yang mencipta nama di negara ini membuatkan pendatang baharu, Ilyas Rashid nekad mencuba nasib.

Minat mendalam dalam bidang nyanyian dan bersandar pada keyakinan diri, Ilyas, 28, tampil mempertaruhkan single solonya berjudul Teruja.

Lagu genre balada itu ciptaan komposer dan penerbit senegara, Wanz Baron.

Ilyas yang bernaung bawah syarikat rakaman Baron Bros Empire berkata, pengedar lagu berkenaan di Malaysia ialah MVM Music.

“Saya berharap Teruja diterima baik pendengar muzik di Malaysia dan mesra radio. Saya teruja mengetengahkan lagu ini sebagai percubaan pertama kerana tertarik dengan melodi dan liriknya yang indah.

“Apatah lagi ia kena dengan vokal. Lagipun, saya juga sangat meminati lagu balada yang mendayu dan meruntun jiwa,” katanya.

Ditanya, tidakkah dia berasa terlewat untuk mula membina kerjaya nyanyian ketika usianya sekarang, Ilyas berkata, dia akur kerana baru sekarang memperoleh peluang itu.

“Saya mula minat menyanyi ketika berusia lima tahun. Saya juga gigih menyertai pertandingan nyanyian di Singapura pada 2016.

“Syukur bakat nyanyian saya diterima baik komposer Wanz Baron, sekali gus dapat bernaung bawah syarikat rakamannya. Saya tekad berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kejayaan dalam genggaman,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depannya, Ilyas berkata, dia ingin terus berusaha sehingga bakat nyanyiannya berjaya diketengahkan.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 7:00am
d