rap

Bella terap sikap terus-terang

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“UNTUK perkahwinan kali ini saya mahu terapkan sikap berterus-terang tanpa perlu berselindung apa pun,” kata pelakon Bella Dally yang selamat bernikah dengan lelaki pilihannya, Arif Izuddin Mohd Radzali, 34, pagi tadi.

Bella, 28, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally berkata, dia juga ingin lebih ada persefahaman dalam rumah tangga supaya dirinya dan suami menjalani hidup dengan bahagia serta harmoni.

Menurut Bella, dia bersyukur apabila dapat memulakan hidup baru dengan Arif dan menganggap ia jodoh yang sudah tertulis buat dirinya.

“Dari awal perkenalan kami, suami memang tunjukkan kesungguhan dan keseriusan dalam perhubungan. Dalam masa sama, saya tidak mahu membuang masa.

“Alhamdulillah, segala perancangan kami dipermudahkan. Saya teruja dan bersyukur dapat memulakan hidup baru dengan Arif. Bermula sudah tanggungjawab baru saya sebagai isteri.

“Apa yang penting, dalam perkahwinan kedua ini saya mahu lebih banyak bersabar dan saling memahami. Kalau ada perkara saya mahu cakap, saya cakap saja. Begitu juga dengan suami. Ia lebih mudah supaya kedua-duanya faham,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai perancangan bulan madu, Bella berkata mereka akan menunaikan umrah pada hujung April ini.

“Insya-Allah, kami merancang untuk menunaikan umrah. Doakan segalanya dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Bella yang anggun dalam persalinan rona krim selamat dinikahkan oleh jurunikah Pendaftar Pernikahan, Ceraian dan Rujuk, Wilayah Persekutuan, Wan Mohd Adlan Wan Salleh.

Pada majlis yang diadakan di Marina Putrajaya itu, Bella menerima mas kahwin RM1,000 berserta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara pihak perempuan menyerahkan sembilan dulang. Wang hantaran pula dirahsiakan.

Majlis resepsi kedua belah pihak akan diadakan di lokasi sama malam ini.

Selepas lima bulan berkenalan, Bella dan Arif mengambil keputusan untuk bertunang pada 12 Januari lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelumnya, Bella yang juga pelakon drama Makmum Yang Paling Aku Cinta pernah berkahwin dengan pelakon Nazim Othman pada September 2016.

Namun, jodoh mereka tidak panjang apabila bercerai pada 2 Mei 2018. Menerusi perkahwinan itu mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 2:00pm
d