rap

Alahan teruk kali ini

Oleh Ardini Sophia Sina

PENGALAMAN hamil anak pertama dan kedua Izreen Azminda sangat berbeza. Kata pelakon ini, pada tiga bulan pertama usia kandungan keduanya, dia bukan saja mengalami alahan teruk tetapi juga pendarahan.

Izreen yang kini hamil anak pertama daripada perkahwinan kedua bersama Ude atau Muhammad Radzi Abd Wahid bagaimanapun bersyukur kerana semuanya kembali pulih selepas memasuki trimester kedua.

Dijangka bakal menimang cahaya mata awal Julai depan, kata Izreen, sepanjang trimester pertama, dia tidak boleh terlalu banyak bergerak dan mengangkat benda berat.

“Awal kehamilan saya perlu kurangkan pergerakan dan elak mengangkat benda berat. Setiap kali saya terangkat benda berat mesti akan berlaku pendarahan. Malahan, sepanjang tiga bulan pertama saya mengalami alahan yang teruk. Saya kerap muntah.

“Dalam tempoh itu, saya tidak boleh lakukan apa-apa. Saya banyak berehat kerana bimbang apa-apa jadi kepada kandungan. Alhamdulillah, situasi itu hanya untuk tiga bulan saja. Selepas itu, saya semakin okey,” katanya.

Katanya, ketika kehamilan pertama, dia masih bekerja walaupun ketika itu usia kandungan tujuh bulan. Izreen berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 di Damansara dalam satu majlis tertutup. Walaupun perkahwinan itu penuh kontroversi, semuanya sudah selesai.

Menurut Izreen dan Ude belum tahu jantina anak walaupun kandungan sudah mencecah enam bulan. “Kami sendiri pun tidak tahu jantina bayi. Setakat ini kalau buat pemeriksaan pun tidak nampak alat kelamin. Kedudukan bayi dalam perut membuatkan kami belum tahu. Kalau sudah ada pengesahan daripada doktor, kami akan kongsi.

“Kalau ada rezeki, saya mahu menimang anak perempuan sebab sudah ada anak lelaki. Bagaimanapun, kalau bayi ini lelaki juga, saya okey. Apa yang penting dia sihat dan sempurna,” katanya.

Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera, Muhammad Riza Baharuddin pada 31 Ogos 2012. Bagaimanapun, mereka bercerai pada hujung 2014. Menerusi perkahwinan pertama, Izreen dikurniakan anak lelaki, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia enam tahun.

Sementara itu, Ude pernah berkahwin dengan Intan Liana Saleh pada 2013 dan bercerai pada 2018. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri dan Ariq Murqi.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 4:30am
d