rap

Nabila Huda keguguran

Oleh Ardini Sophia Sina

EMPAT tahun menantikan kehadiran cahaya mata, pelakon Nabila Huda mengakui sedih selepas disahkan mengalami keguguran namun reda menerima ketentuan itu.

Nabila, menerusi Instagram berkata, dia tetap bersyukur kerana dia dan suami, Mohd Izwan Johar diberikan kesempatan merasai momen ‘bakal ibu dan ayah’ (mom and dad to be).

“Inilah momen yang paling manis, gembira, sedih. Semua ada. Saya menunggu empat tahun untuk hamil.

“Bagaimanapun, saya mengalami pendarahan teruk. Saya pergi mengambil ujian darah sekali lagi dan disahkan mengalami keguguran.

“Ya, sudah tentu saya sedih. Terlalu sedih. Tapi, kenapa mahu bersedih dan menangis sedangkan orang yang sentiasa membahagiakan kita ada depan mata. Sekurang-kurangnya, dapat juga kami berdua berasa momen ‘mom and dad to be’ sekejap,” katanya.

Semalam, Nabila berkongsi sebuah video keterujaan anaknya, Keisha Laila yang menangis selepas mengetahui ibunya sedang hamil dan dia bakal menjadi seorang kakak.

Bagaimanapun, Nabila menganggap rezekinya menimang cahaya mata sulung untuk perkahwinan keduanya itu belum tiba. Dia terus positif dan menghargai waktu bersama dengan sepuasnya.

“Tiada rezeki lagi. Mungkin Allah mahu berikan peluang untuk kami berbulan madu. Mereka yang membahagiakan saya masih ada. Lebih baik hargai waktu yang ada sepuas-puasnya,” katanya.

Nabila dan Mohd Izwan bernikah pada 25 Disember 2015 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Terdahulu, menerusi perkahwinan pertama, Nabila dikurniakan seorang anak perempuan, Keisha Laila yang kini berusia sembilan tahun.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 4:00pm
d