rap

'Kami akan bincang dengan semua pihak' - Astro

Oleh Amirul Haswendy Ashari

ASTRO dalam proses perbincangan dengan semua pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berhubung kontroversi kemunculan Fattah Amin bersama Nur Fazura di atas pentas ketika penyampaian trofi Anugerah Khas Juri yang dikatakan elemen kejutan oleh Astro di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30), baru-baru ini.

Ketua Bahagian Kandungan Astro, Namanzee Harris berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kontroversi itu yang turut membabitkan pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac dan Finas.

“Selaku stesen penyiar rasmi FFM30, perancangan rapi yang mengambil kira segala kebarangkalian sudah dilakukan demi memastikan kelangsungan program ini. Ini kerana pihak kami mahu bekerjasama dengan semua yang terbabit tanpa ada sebarang prejudis.

“Buat masa ini, kami masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan semua yang terbabit termasuklah Finas untuk meneliti semula perkara ini. Kami juga akan mengadakan mesyuarat dengan pihak-pihak terbabit hari ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri meminta Astro memberi surat tunjuk sebab dan bertanggung jawab ke atas susulan isu yang berlaku.]

Beliau turut menegur pihak produksi seperti tidak menghormati Finas apabila mengadakan elemen kejutan tanpa perbincangan awal bersama pihak penganjur.

Media semalam melaporkan Fazura dikatakan sengaja membawa bersama suaminya, Fattah Amin ke atas pentas untuk mengumumkan Anugerah Khas Juri pada malam FFM30.

Pelakon itu juga didakwa memberi kata dua kepada pihak produksi, Astro dan FFM untuk membawa bersama Fattah ke atas pentas dan menyampaikan anugerah itu sehingga membelakangkan dua rakan penyampai lain iaitu Hans dan Maya Karin.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Fattah dan Fazura dalam satu kenyataan semalam mendakwa keputusan dibuat oleh pihak Astro yang menyatakan kemunculan pasangan itu di atas pentas adalah sebuah elemen kejutan dalam majlis berkenaan.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 1:03pm
d