rap

Berani hasilkan karya ada 'suara'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

KEMENANGAN besar diraih filem One Two Jaga di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30), Sabtu lalu memberi semangat kepada Nam Ron untuk mengangkat isu sosial yang dekat dengan masyarakat.

Nam Ron yang turut diangkat sebagai Pengarah Terbaik FFM30 berkata, pengiktirafan karya berkisar gejala rasuah dalam kalangan anggota polis melalui filem arahannya itu membuatkan dia lebih berani menghasilkan karya yang ada ‘suara’.

“Karya mesti ada suara dan saya sentiasa berpegang kepada prinsip itu dan sebagai seniman, saya harus mengangkat persoalan dalam karya mengikut kemampuan yang ada.

“Saya memang tidak mampu menghasilkan filem seperti Paskal kerana ada kekangan tapi kena ada sikap positif untuk karya akan datang. Mungkin saya boleh buat filem mengenai amalan rasuah dalam kalangan menteri pula selepas ini,” katanya.

Nam Ron yang pernah menghasilkan filem bebas berjudul Gedebe pada 2003 berkata, dia berminat menghasilkan karya seperti ini kerana prihatin dan peka terhadap isu yang menyelongkar kisah masyarakat.

Katanya, dia sememangnya ada masalah dengan isu yang berlaku di sekeliling dan dengan cara menghasilkan karya saja dia ‘bangkit’ untuk bersuara.

Bagaimanapun, dia akui keberanian yang diperlukan untuk menghasilkan karya yang jarang mengikut selera tempatan bukan muncul dalam satu hari.

Sebaliknya, dia mendedahkan perlu berdepan pelbagai kesukaran antaranya mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib.

“Ketika mengarahkan filem bebas dulu, ada juga karya saya yang tidak lepas untuk tayangan. Orang tahu karya saya bukan hanya nak tengok hero dan heroin yang cantik semata-mata,” katanya.

Nam Ron yang pernah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik FFM29 melalui filem Redha berkata, dia bertuah dapat bekerjasama dengan Bront Palarae yang bertindak sebagai penerbit.

Katanya, Bront berusaha gigih menerbitkan filem ini walaupun ditolak ke sana sini termasuk mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada FFM30, One Two Jaga membawa pulang enam anugerah iaitu Pengarah Terbaik (Nam Ron), Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik (Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Nam Ron) dan Pelakon Lelaki Terbaik (Rosdeen Suboh).

Selain itu, One Two Jaga turut memenangi Poster Terbaik (Jazz Pictures) dan Lakon Layar Terbaik (Amri Rohaiyat, Fared Ayam dan Nam Ron).

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 4:30am
d