rap

'Fresh orange' ikat tepi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

DIALOG ‘fresh orange ikat tepi’ yang disampaikan watak Juita lakonan Azar Azmi pada episod kedua drama Nur 2, semalam, tular di laman sosial.

Pengarah yang juga penulis skrip drama itu, Shahrulezad Mohameddin berkata, dia tidak pernah merancang malah jauh sekali menjangka ia bakal menjadi sebutan.

“Sewaktu penggambaran babak inih, saya tanya Azar kalau mahu beli air, nak air apa. Dia jawab nak beli fresh orange. Jadi, saya pun buat. Itu saja.

“Tetapi mungkin sebab gaya Azar melontarkan dialog itu depan Adam (Syafiq), ia menjadi ‘seksi’. Lagi satu, orang jarang beli fresh orange ikat tepi. Selalu teh ais, milo dan lain-lain. Kru siap tanya saya, adakah orang pernah buat.

“Kami tidak rancang pun untuk tularkan dialog ini atau menjadikan ia babak ikonik. Malah, dalam drama ini, ada banyak perkara yang mungkin boleh boleh menjadi dan tidak. Tapi, saya tidak boleh jangka,” katanya kepada Harian Metro.

Shahrulezad berkata, dia hanya mampu tersenyum dengan maklum balas diterima penonton membabitkan dialog dan babak yang dipaparkan dalam drama itu.

“Saya tidak menjangka dialog ini menjadi sebutan hingga orang buat hashtag. Sama juga macam dialog sup bunjut pada Nur dulu.

“Saya tersenyum saja, sebab ia menjadi perhatian penonton. Bagi saya, apa saja yang menjadi bualan berkenaan drama ini datangnya daripada penonton dan warganet,” katanya.

Dalam musim terdahulu, dialog sup bunjut yang disampaikan watak Aisyah lakonan Noorkhiriah turut tular.

Ditanya mengenai ramalan banyak pihak yang menjangkakan Nur bakal menang besar pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2019) yang berlangsung Ahad ini, Shahrulezad tidak meletakkan harapan tinggi.

“Kalau ada rezeki adalah. Saya aminkan doa semua orang dan peminat drama Nur,” katanya.

Selain Azar Azmi, Nur 2 masih mengekalkan pelakon utama Amyra Rosli dan Syafiq Kyle.

Drama itu disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda di TV3.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 1:17pm
d