rap

FINAS tawar geran karya terbaik

Oleh Norzamira Che Noh

LIMA penyertaan terbaik pada Anugerah Filem Pendek FiTA WAVE 2019 berpeluang mendapat geran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menghasilkan sebuah filem penuh.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, seorang pemenang akan dipilih daripada lima penyertaan terbaik itu sekali gus menjadi peluang terbaik untuk pengkarya muda yang ingin menjadi pembuat filem.

“Sebelum ini ramai bertanya kepada siapa geran FINAS diberikan dan saya rasa tidak salah untuk memberikan satu geran kepada peserta terbaik anugerah ini sebagai pembakar semangat mereka bagi menghasilkan karya terbaik.

“Ia sebahagian daripada proses ‘grooming’ untuk meneroka bakat baharu dalam pembikinan filem malah karya mereka juga berpeluang ditayangkan di layar perak,” katanya pada sidang media pelancaran Anugerah Filem Pendek FiTA WAVE 2019 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, hari ini.

Program anjuran Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Yayasan Hasanah, FINAS dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim.

Sementara itu, Dekan FiTA, Prof Madya Datuk Dr A Razak Mohaideen berkata, anugerah yang julung kali diadakan itu bertemakan ‘Imagining and Inspiring Malaysians through Life-Long Learning’ dan peserta dikehendaki menghasilkan filem pendek berdurasi tidak lebih 10 minit.

“Penyertaan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berusia 13 hingga 35 tahun dengan tiga jenis kategori iaitu pelajar sekolah menengah, kolej dan universiti (awam dan swasta).

“Ia menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai RM10,000 bagi tempat pertama, RM5,000 (tempat kedua), RM2,000 (tempat ketiga) serta RM5,000 diberikan kepada penerima anugerah pilihan khalayak berserta trofi dan sijil penghargaan,” katanya.

Katanya, tema yang menekankan pembelajaran sepanjang hayat melalui empat sub tema dikemukakan Yayasan Hasanah itu merangkumi pendidikan, seni warisan budaya, pembangunan komuniti serta masyarakat dan alam sekitar.

“Kita menyasarkan 200 penyertaan diterima untuk FiTA WAVE 2019 dan hingga kini sebanyak 46 penyertaan sudah diterima menerusi media sosial.

“Saya berharap lebih banyak penyertaan diterima dan tarikh tutup penyertaan adalah pada Mei ini. Kita akan mengadakan majlis anugerah pada 14 Jun depan,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 6:47pm
d