rap

Sarah Suhairi bukan anak emas

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI remaja Sarah Suhairi, 19, menafikan dirinya anak emas syarikat rakaman Rusa Music apabila berpeluang bekerjasama dengan ramai nama besar untuk album pertamanya.

Album penuh juara program Big Stage yang dijangka berada di pasaran akhir tahun ini akan menampilkan lagu ciptaan komposer Faizal Tahir, Sharon Paul, Aman Ra, Ezra Kong dan Sirkhan.

“Saya bukan anak emas Rusa Music. Ramai lagi artis lain dapat peluang sama.

“Sebenarnya, untuk album ini saya bersama ayah berjumpa setiap komposer terbabit secara peribadi untuk mendapatkan lagu mereka.

“Saya hanya suarakan kepada syarikat rakaman untuk bekerjasama dengan nama-nama ini dan minta mereka uruskan perjumpaan,” katanya kepada Harian Metro.

Sarah yang popular dengan lagu Pedih serta Nyawa dan Raga, menolak tanggapan dirinya ‘demand’ dalam pemilihan lagu sebaliknya dia hanya ingin merealisasikan impiannya sebagai penyanyi.

“Saya ada keinginan dalam karier. Diakui saya masih baru dalam bidang ini namun saya mengimpikan bekerja dengan mereka.

“Karya mereka berbeza dan ada cara sendiri. Apa salahnya saya cuba pelbagaikan genre nyanyian kerana enggan terikat dengan hanya satu konsep.

“Sekarang saya sibuk melakukan persediaan merakamkan lagu baru. Album ini akan menampilkan lima lagu baru manakala dua single terdahulu turut dimuatkan menjadikan keseluruhannya tujuh lagu,” katanya.

Menurutnya, album ini menampilkan pelbagai genre antaranya rap, balada dan pop.

“Kalau terikat dengan lagu genre sama peminat akan bosan. Saya juga akan menyanyikan lagu berkonsep pelbagai bangsa ciptaan Faizal Tahir berjudul Rise And Fall.

“Lagu ini sudah siap dirakam dan akan dijadikan single terbaru saya. Penggambaran muzik video juga sedang dibuat dan dijangka dilancarkan pada 12 April ini,” katanya.

Sarah berkata, pemilihan judul bukan ditentukan oleh pihaknya kerana lagu ini sudah sedia ada dalam simpanan Faizal.

“Saya tidak ada masalah menggunakan judul Rise And Fall kerana dalam korus ada menyebut perkataan ini.

“Apa pun, lagu ini tiada kena mengena dengan mana-mana karya sedia ada. Saya tak kisah kalau orang berfikir sebaliknya.

“Asalnya lagu ini tak ada dalam album tetapi saya dapat lagu ini daripada Faizal dan terima dengan hati terbuka. Lagipun, bukan mudah dia nak bagi lagu kepada penyanyi lain dan saya antara yang bertuah,” katanya.

Sarah turut menegaskan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk melakukan bagi menaikkan kariernya.

“Setakat ini saya tidak pernah merancang sebarang gimik dalam penghasilan lagu.

“Alhamdulillah, tak sangka dalam tempoh kurang setahun bergelar penyanyi, saya dapat bekerjasama dengan ramai komposer terkenal,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 6:38pm
d