rap

Manusia Kalkulator bangga

Oleh Georgie Joseph

PESERTA Malaysia, Yasshwin Sarawanan atau popular sebagai ‘Manusia Kalkulator’ berbangga dapat mencipta sejarah layak ke peringkat akhir dalam program Asia’s Got Talent 3 (AsGT3) di Marina Bay Sands, di sini, semalam.

Yasshwin, 16, ketika ditemui berkata, dia mengakui perjalanannya tidak semudah satu lagi wakil Malaysia iaitu kumpulan NAMA yang turut mara sebagai pilihan juri, tetapi sangat bersyukur bakatnya berjaya membuka mata ramai untuk mengundinya.

“Perjalanan saya dari peringkat uji bakat, separuh akhir, hingga ke pentas akhir adalah hasil bantuan pengundi. Syukur mereka memberi kepercayaan terhadap perjuangan saya.

“Dapat beraksi di pentas akhir pun ibarat satu kemenangan untuk saya. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini apatah lagi sebagai wakil Malaysia yang pertama kali dapat berbuat demikian.

“Saya berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam membawa saya ke tahap ini. Saya sudah cukup bangga untuk membawa nama Malaysia sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Yasshwin tidak mahu perjuangannya menjadi ‘Manusia Kalkulator’ terhenti setakat di AsGT3.

“Saya tidak akan berhenti di sini. Saya memang menyimpan cita-cita untuk bertanding ke tahap yang lebih tinggi iaitu Britain’s Got Talent (BGT).

“BGT adalah pelopor awal untuk program pencarian bakat sebegitu dan jenamanya jauh lebih tinggi. Disebabkan itulah suatu hari nanti, saya berharap akan dapat mempersembahkan bakat saya di sana pula.

“Program itu menjadi ikutan jutaan orang di seluruh dunia. Pastinya ia satu pentas yang sangat besar dan saya teringin cuba nasib di sana pula,” katanya.

Dalam persembahan akhir kelmarin, Yasshwin tidak menghampakan penonton dengan persembahan kira-kira matematiknya dan mendapat pujian daripada tiga juri AsGT3 iaitu David Foster, Anggun dan Jay Park.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 6:56pm
d