rap

Nur menang besar DFKL2019 [METROTV]

Oleh Amirul Haswendy Ashari

DRAMA Nur terbitan Radius One Sdn Bhd menepati ramalan peminat apabila menang besar dalam enam kategori utama termasuk Drama Rantaian Terbaik pada Anugerah Drama Kuala Lumpur (DFKL2019), malam tadi.

Ia sekali gus mengulangi kejayaan produksi itu yang menang besar ketika Anugerah Skrin 2018 lalu.

Selain Drama Pilihan, Nur turut mengungguli kategori Aktor Pilihan melalui Syafiq Kyle, Antagonis Pilihan (Azhan Rani), Pengarah Pilihan (Shahrulezad Mohameddin), Skrip Pilihan (Shahrulezad Mohameddin) dan Pasangan Pilihan (Syafiq Kyle dan Amyra Rosli)

Bagi kategori Aktres Pilihan menjadi milik, Janna Nick menerusi drama Semerah Cinta Humairah.

Walaupun tewas pada Anugerah Juara Lagu ke-33 lalu, lagu Jatuh Bangun nyanyian Haqiem Rusli dan Aman Ra yang menjadi lagu runut drama Shah & Zam menang kategori Lagu Pilihan.

Kategori Drama Pendek Pilihan dimenangi Orang Kita karya Mohamad Edzuan, kedua Nelayan Siblings (Creative Details Filming) dan ketiga, Butang Hukum karya Ahmad Syukri.

Drama Rantaian Bahasa Cina Pilihan pula jadi milik drama My Sensei Nyonya terbitan Mediacorporation Studio (M) Sdn Bhd.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan iaitu Drama Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan, Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Rantaian Berbahasa Cina Pilihan, Drama Pendek Pilihan dan Lagu Pilihan.

Mengangkat tema #PositifSelalu, DFKL2019 diacarakan Awal Ashaari, ditayangkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 9 hingga 11 malam di TV3 dan saluran Youtube TV3 Malaysia.

Berikut senarai penuh pemenang DFKL2019:

•Drama Pilihan - Nur

•Aktor Pilihan - Syafiq Kyle

•Aktres Pilihan - Janna Nick

•Antagonis Pilihan - Azhan Rani

•Pengarah Pilihan - Shahrulezad Mohameddin

•Penulis Skrip Pilihan - Shahrulezad Mohameddin

•Pasangan Pilihan - Syafiq Kyle & Amyra Rosli

•Lagu Pilihan - Jatuh Bangun (Haqiem Rusli & Aman Ra)

•Drama Rantaian Bahasa Cina Pilihan - My Sensei Nyonya

•Drama Pendek Pilihan - Orang Kita

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 12:24am
d